Malaysia Oversight

EAIC syor JIM buat SOP khas cara pakai, simpan rakaman kamera badan

By MkiniBM in August 18, 2025 – Reading time 1 minute
EAIC syor JIM buat SOP khas cara pakai, simpan rakaman kamera badan


Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) hari ini menyesyorkan agar Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) khusus bagi tatacara pemakaian dan penyimpanan rakaman kamera badan oleh pegawai serta anggota mereka yang terlibat dalam operasi penguatkuasaan.

EAIC berkata syor itu dibuat susulan berlaku kekasaran oleh pegawai JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terhadap seseorang semasa operasi pada 25 Jun tahun lalu.

“Syor ini bertujuan memastikan ketelusan pelaksanaan tugas dan mengelakkan sebarang tohmahan daripada orang awam pada masa hadapan.

“Pelaksanaan SOP ini adalah penting bagi memastikan integriti dan akauntabiliti agensi penguatkuasaan serta mempertingkatkan kepercayaan awam terhadap agensi,” kata EAIC dalam kenyataan hari ini.

EAIC juga menjelaskan isu pegawai JIM didakwa menggunakan kekasaran terhadap individu terbabit disiasat mengikut peruntukan subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009.

Kata agensi itu, semakan mendapati kertas siasatan polis yang dibuka berkaitan insiden berkenaan diklasifikasikan sebagai NFA (tiada tindakan lanjut) oleh pihak timbalan pendakwa raya.

Berdasarkan keterangan, kata EAIC, individu yang membuat aduan tidak dapat mengecam atau mengenal pasti mana-mana pegawai atau anggota JIM yang didakwa mengasarinya.

“Rakaman kamera badan tidak dapat diperolehi kerana data rakaman hanya disimpan selama 30 hari dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian pula tidak dapat diperoleh kerana peralatannya dicabut sejurus selepas pihak JIM WPKL menyerbu masuk ke premis berkenaan,” katanya.

Tambah EAIC semua pegawai dan anggota JIM WPKL yang terlibat dalam operasi berkenaan memberikan keterangan menafikan sebarang kekasaran atau tindakan memukul individu terbabit.



Source link