Malaysia Oversight

EAIC sokong fokus RMK13 tangani integriti dan ketirisan

By TheSun in August 1, 2025 – Reading time 2 minute
EAIC sokong fokus RMK13 tangani integriti dan ketirisan


: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menyambut baik penekanan serius terhadap isu integriti, salah guna kuasa dan ketirisan dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), selaras dengan peranan EAIC sebagai badan pemantau agensi penguatkuasaan.

Pengerusinya Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata komitmen untuk memperkukuh tatakelola dan memastikan tindakan yang diambil bersifat telus serta berteraskan kebertanggungjawaban amat bertepatan dalam usaha memperkukuh keyakinan rakyat terhadap institusi negara.

“Seperti yang dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Ibrahim, kadangkala yang merosakkan kepercayaan rakyat bukan semata-mata salah laku, tetapi kegagalan untuk bertindak apabila berlaku ketidakadilan.

“Budaya integriti bukan hanya tanggungjawab penjawat awam atau agensi penguat kuasa, tetapi mesti diterapkan di semua peringkat termasuk sektor swasta dan masyarakat. Ini penting bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap institusi negara terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail turut menyifatkan inisiatif penubuhan Ombudsman Malaysia merupakan langkah yang amat bertepatan pada masanya, selaras dengan agenda reformasi institusi yang sedang dilaksanakan.

“EAIC menyokong usaha ini bagi memperkukuh sistem semak dan imbang dalam penyampaian perkhidmatan awam serta menangani aduan rakyat dengan lebih menyeluruh, bebas dan berkesan,” katanya.

Langkah menambah baik tatakelola dan memperkukuh tadbir urus menerusi RMK13 menyumbang secara langsung kepada pencapaian aspirasi MADANI untuk meletakkan Malaysia di tangga 25 negara teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

Menurut dokumen RMK13 dikeluarkan Kementerian Ekonomi semalam, penekanan untuk memperkukuh integriti dan akauntabiliti, mempertingkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan memantapkan pengurusan fiskal itu juga menyasarkan Malaysia berada di kedudukan 12 teratas dalam IMD World Competitiveness Yearbook.

Selain itu, langkah menambah baik tatakelola dijangka membantu mengurangkan defisit fiskal kepada di bawah tiga peratus dan memastikan paras hutang tidak melebihi 60 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar. – Bernama



Source link