Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) memutuskan untuk merujuk syor hukuman kepada pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang disyaki terlibat dengan sindiket visa perubatan pada Jabatan Peguam Negara (AGC).
EAIC memaklumkan ini berikutan siasatan terhadap pegawai JIM oleh pasukan petugas khas yang ditubuhkan untuk menyiasat berhubung isu pengeluaran pas lawatan sosial kategori visa perubatan yang dikeluarkan kepada warga asing daripada beberapa negara yang didapati tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan.
“Hasil siasatan mendapati bahawa terdapat penyalahgunaan kuasa oleh pegawai Imigresen yang meluluskan visa perubatan kepada warga asing dari beberapa negara, walaupun menyedari bahawa dokumen permohonan yang dikemukakan adalah tidak lengkap dan tidak mematuhi ketetapan dalam Pekeliling Imigresen Malaysia.
“Sehubungan itu, EAIC telah memutuskan untuk merujuk hasil siasatan ini kepada Jabatan Peguam Negara, selaras dengan peruntukan Perenggan 30(1)(c), Akta 700,” katanya dalam semalam.
Suruhanjaya itu menambah bahawa mereka akan memberi syor agar pertuduhan jenayah dikenakan terhadap pegawai JIM terlibat di bawah peruntukan: (i) Kanun Keseksaan [Akta 574]; (ii) Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155], dan/atau (iii) Akta Pasport 1966 [Akta 150].

Bagaiamanapun, kenyataan EAIC tidak menjelaskan jumlah pegawai JIM bakal dirujuk kepada AGC.
EAIC merupakan badan berkanun persekutuan yang ditubuhkan, antaranya, bagi menyiasat aduan salah laku pegawai penguat kuasa atau agensi penguatkuasaan.
Untuk rekod, pada 15 Okt tahun lalu, EAIC menubuhkan pasukan petugas khas diketuai oleh pesuruhjaya agensi itu Dr Razali Ab. Malik.
Siasatan tertumpu kepada pelanggaran dalam proses kelulusan visa perubatan, termasuk semakan terhadap pematuhan tatacara sedia ada, pengambilan keterangan saksi-saksi berkaitan, penyitaan dokumen, serta penyediaan syor yang bersesuaian untuk tindakan lanjut oleh pihak berkuasa.
Siasatan yang bermula pada awal Okt tahun lalu, melibatkan kelulusan lebih 20,000 visa perubatan yang diberikan tahun lepas melibatkan satu negeri sahaja.
Malaysiakini difahamkan, setiap kepala dikenakan bayaran sekitar RM4,500 oleh sindiket itu.
Selain memanggil lebih 10 pegawai JIM untuk siasatan, EAIC turut merampas lebih 150 fail daripada ibu pejabat JIM, Putrajaya untuk membantu siasatan.
Malaysiakini memahami antara nama besar disiasat yang dipercayai terlibat dengan sindiket visa perubatan adalah seorang pegawai kanan JIM dan seorang ahli perniagaan dari Johor yang masing-masing dikenali sebagai ‘Tok Yah’ dan ‘DK’.
Untuk rekod, pada Okt tahun lalu, Malaysiakini membongkar bahawa Tok Yah dan DK antara ‘ikan besar’ yang terlibat dengan sindiket warga asing yang masih tidak disentuh.
Malaysiakini turut menyerahkan senarai nama individu yang didakwa terlibat dengan sindiket visa perubatan kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
Nama-nama itu termasuk Tok Yah atau Tok Ayah dan DK dan ‘Adik’ serta tujuh lagi individu.
Daripada tujuh nama itu, empat nama daripada Jabatan Imigresen, seorang dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dan dua lagi dari SPRM, termasuk seorang yang telah meninggal dunia.
Sindiket perubatan visa telah lama berleluasa memberi kelulusan visa perubatan kepada warga asing untuk masuk ke negara ini atas alasan mendapatkan khidmat perubatan.