Malaysia Oversight

EAIC buat penjenamaan semula, perkenal logo baru

By MkiniBM in August 10, 2025 – Reading time 2 minute
EAIC buat penjenamaan semula, perkenal logo baru


Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengumumkan penjenamaan semulanya, termasuk pengenalan logo baru sebagai simbol komitmen terhadap pembaharuan dan pengukuhan peranan institusi itu sebagai pemantau bebas.

EAIC berkata penjenamaan semula itu merupakan kesinambungan kepada usaha pembaharuan progresif yang digerakkan sejak 2024.

“Ini termasuk penubuhan pasukan petugas khas bagi menyiasat kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam seperti pembuangan e-waste secara haram serta penyalahgunaan kuasa dalam pengeluaran visa perubatan dan kajian untuk mengenal pasti langkah pencegahan kematian dalam tahanan. 

“Usaha lain merangkumi pemantapan prosedur operasi standard (SOP) siasatan dan pewujudan mekanisme traffic light bagi memantau kemajuan siasatan yang telah melonjakkan kadar penyelesaian aduan kepada 99 peratus.

“Selain itu, kajian keberkesanan operasi agensi penguatkuasaan seliaan, penyertaan dalam operasi dan konsultasi di lapangan bersama pihak berkepentingan untuk memahami isu di peringkat akar umbi bagi merangka syor penambahbaikan yang berimpak tinggi,” kata EAIC dalam kenyataan semalam.

EAIC berkata pihaknya juga konsisten dalam mengumumkan laporan siasatannya kepada umum, selaras dengan kehendak Seksyen 30(5) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan. 

Terdahulu, EAIC berkata logo barunya menampilkan elemen mata harimau dan kuku harimau bagi melambangkan ketajaman dan kewaspadaan dalam memantau salah laku, mencerminkan komitmennya dalam menerajui reformasi integriti agensi penguatkuasaan secara berterusan dan berkesan. 

Sementara itu, Pengerusi EAIC Dr Ismail Bakar berkata perubahan tersebut bukan sekadar penjenamaan visual, tetapi langkah strategik ke arah memperkukuh fungsi pengawasan pihaknya secara lebih berfokus dan responsif. 

“Reformasi institusi menuntut keberanian untuk berubah dan EAIC memilih untuk bergerak ke hadapan dengan penuh ketegasan serta rasa tanggungjawab terhadap amanah rakyat. 

“Penjenamaan semula ini diharap akan dapat menyampaikan matlamat suruhanjaya dengan lebih jelas untuk terus bergerak ke hadapan sebagai peneraju dalam reformasi integriti institusi penguatkuasaan, dengan fokus memperbaiki proses, meningkatkan ketelusan dan membina kepercayaan masyarakat secara berterusan,” katanya dalam kenyataan sama.



Source link