Malaysia Oversight

Dzulkefly janji selesaikan isu senioriti kakitangan kesihatan

By MkiniBM in August 8, 2025 – Reading time 2 minute
Dzulkefly janji selesaikan isu senioriti kakitangan kesihatan


Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, mengakui rungutan berhubung tempoh perkhidmatan kontrak bertahun-tahun dalam sektor kesihatan yang tidak diambil kira dari segi gred dan gaji semasa pelantikan ke jawatan tetap.

Menjawab kritikan pengguna media sosial yang mempersoalkan dasar yang dianggap “menghapuskan senioriti”, Dzulkefly berkata dia menyedari masalah tersebut dan telah mengarahkan tindakan pembetulan segera terhadap “ketidakteraturan” itu.

“Saya amat sedar akan permasalahan ini dan telah memulakan tindakan agar ketidakteraturan ini diperbetul dan diperhalusi. Doakan kami,” katanya menerusi satu hantaran di platform X semalam.

Kritikan tersebut timbul susulan pengumuman Dzulkefly bahawa seramai 4,354 calon Pegawai Perubatan Gred UD10 akan menerima surat lantikan tetap selewat-lewatnya pada 18 Ogos.

Dia turut berkongsi kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memaklumkan bahawa lantikan tetap perlu dilaksanakan secara berperingkat kerana membabitkan pegawai daripada pelbagai kohort, selain mengambil kira aspek senioriti dan kebajikan mereka.

KKM menambah bahawa semua calon yang menerima tawaran akan mula melapor diri secara berfasa bermula 2 Oktober di fasiliti KKM seluruh negara.

Kementerian itu juga menjelaskan bahawa sesi libat urus telah diadakan bersama Kementerian Kewangan, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi memastikan proses lantikan berjalan lancar.

a6123dff28fc9f23bc03b4a66d6e252b

Dalam jawapan bertulis di Parlimen, Dzulkefly mendedahkan bahawa sejumlah 705 pegawai perubatan dan 1,394 jururawat telah meletakkan jawatan antara tahun 2022 hingga 2024 selepas berkhidmat lebih lima tahun.

Antara sebab utama yang direkodkan termasuk mendapat peluang bekerja di sektor swasta atau badan berkanun, serta isu peribadi dan kesihatan.

Namun begitu, bagi tempoh sama, KKM telah melantik seramai 12,761 pegawai perubatan dan 5,396 jururawat ke jawatan tetap, sebagai usaha mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan dengan menambah baik kemahiran, kesiapsiagaan, dan mobiliti tenaga kerja.

Menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Gopeng (), Tan Kar Hing, Dzulkefly memaklumkan kementerian itu telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk mengekalkan tenaga kerja berpengalaman dan mengurangkan kadar pemberhentian petugas kesihatan.

Antara langkah yang diambil termasuk pengecualian pelantikan kontrak interim bagi jururawat oleh agensi pusat untuk tahun 2023 dan 2024, dengan potensi lantikan tetap menjelang 2025.

Waktu syif bertugas bagi pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan dan jururawat di wad juga telah dikurangkan daripada 45 jam kepada 42 jam seminggu, di samping penyediaan pelbagai insentif seperti Elaun Locum, Bayaran Insentif Pakar, dan Elaun Pasca Asas.

Dzulkefly juga berkata pegawai perubatan yang masih dalam tempoh latihan dipantau akan menerima bayaran insentif sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan tugas mereka.

Tambahnya, kementerian itu juga memberi fokus kepada kenaikan pangkat yang lebih pantas — contohnya, pegawai perubatan boleh dinaikkan daripada Gred UD9 ke UD14 dalam tempoh 9 hingga 12 tahun.

Bagi paramedik pula, sistem kenaikan pangkat Berasaskan Kecemerlangan Masa (TBK 1 dan TBK 2) boleh dicapai selepas 13 tahun perkhidmatan.



Source link