Dyson PencilVac Dan Dyson V16 Piston Animal Kini Dijual Pada Harga Permulaan RM2799
Nazrin
Pada pertengahan tahun ini, Dyson telah memperkenalkan dua buah pembersih hampagas baru, iaitu Dyson PencilVac yang dilaporkan akan mula dijual di pasaran tempatan kelak.
Terkini, Dyson Malaysia dilihat telah membuat pengumuman bahawa Dyson PencilVac sudahpun memasuki pasaran Malaysia, dan akan dijual pada harga RM2799.

Dyson PencilVac merupakan mesih pembersih hampagas paling runcing mereka setakat ini, dimana motor elektrik, bateri dan tempat mengumpul debu PencilVac terletak di bahagian tangkai. Motor elektrik yang digunakan mempunyai kipas berdiameter 38mm sahaja. Motor yang sangat kecil untuk pembersih hampagas ini dibangunkan daripada motor yang digunakan pada pengering rambut Supersonic R dan Supersonic.

Ia turut menggunakan kepala pembersih baharu Fluffycones yang direka untuk tidak mempunyai masalah rambut terpintal. Buat pertama kalinya kepala pembersih Dyson mempunyai hujung berus yang terbuka menyelesaikan isu terlanggar dinding dan rambut yang terpintal akan tercabut sendiri apa sampai ke hujung. Engsel yang menyambungkan kepala pembersih dengan tangkai bergerak ke seluruh arah bagi memudahkan ia membersihkan ruang yang sukar dicapai.
Beralih kepada Dyson V16 Piston Animal, ia merupakan pembersih hampagas paling berkuasa Dyson setakat ini. Ia dikuasakan oleh sebuah motor baru Hyperdymium 900W yang menjana kuasa sedutan 315AW yang menjanjikan kuasa pembersihan lantai yang paling berkuasa di pasaran.

Untuk membantu dengan ini, Dyson V16 Piston ANimal juga hadir dengan kepala pembersih baru yang dinamakan All Floor Cones Sense yang menggunakan teknologi AI untuk membolehkan pembersih hampagas ini membersihkan pelbagai jenis lantai dan juga permaidani secara automatik.

Pembersih All Floor Cones Sense ini juga boleh menangkap semua jenis rambut dan bulu, termasuklah haiwan peliharaan pengguna untuk kebersihan rumah yang sebenar dan tiada alahan. Kepala pembersih ini hadir dengan dua kon bar berus yang mengeluarkan rambut terpanjang dari berus terus ke dalam tong CleanCompaktor semasa anda membersihkannya.

Menurut Dyson, tong CleanCompaktor baru ini juga berkemampuan untuk memampatkan sehingga tiga kali lebih banyak kotoran didalamnya, manakala rekaan baru tong ini bermakna bahawa komponen-komponen dalaman seperti motor dan penuras HEPA yang digunakan tidak kotor apabila anda mengosongkan tong tersebut.

Dengan kuasa sedutan baru, Dyson V16 Piston Animal ini juga hadir dengan jangka hayat penggunaan selama 70 minit. Jika diperlukan, bateri pembersih hampagas ini juga boleh ditukar dengan cepat dan mudah untuk pembersihan berpanjangan.
Sama seperti Dyson PencilVac, Dyson V16 Piston Animal juga sudah mula ditawarkan di pasaran Malaysia pada harga RM4099.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






