Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan meluluskan usul untuk mencalonkan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP Vincent Wu dan Ketua PKR Cabang Rembau Jufitri Joha sebagai senator mewakili negeri itu di Dewan Negara.
Usul itu dibentangkan Menteri Besar Aminuddin Harun dan disokong oleh anggota Exco kerajaan negeri Teo Kok Seong semalam.
Hanya lima Adun pembangkang dilaporkan tidak mengundi, manakala selebihnya menyokong usul itu.
Pencalonan kali ini menarik perhatian umum berikutan protes membabitkan “topeng tuala wanita”, yang diketuai oleh pengerusi Kelab Veteran DAP Negeri Sembilan Lee Kong Hing pada 3 Ogos.
Lee menyelar jawatankuasa parti negeri kerana “menggadaikan” orang setempat ekoran pemilihan seorang “individu luar” dari negeri itu sebagai senator.
Pada sidang akhbar yang diadakan, pemprotes menjadikan tuala wanita sebagai topeng dalam langkah mempersenda jawatankuasa negeri yang dianggap berdiam diri apabila Wu – anak kelahiran Johor yang juga ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP – dipilih sebagai senator bagi mewakili Negeri Sembilan.
Protes itu mencetuskan kontroversi berhubung dakwaan seksisme. Lee kemudian meminta maaf atas tindakannya pada hari berikutnya, pada 4 Ogos.
Selepas usul pencalonan diluluskan, Wu melahirkan rasa terima kasihnya dalam catatan Facebook, mengucapkan terima kasih kepada DUN dan ahlinya atas kepercayaan dan mandat mereka.
“Pelantikan ini bukan sekadar pengesahan saya secara peribadi, tetapi yang lebih penting, tanggungjawab yang berat. Saya akan menumpukan diri sepenuhnya untuk menjalankan tugas sebagai senator,” tulisnya.
Wu berkata beliau akan memberi tumpuan kepada menyokong dasar yang lebih inklusif mengenai pertanian dan pembangunan luar bandar, bertujuan untuk menyediakan sokongan ketara kepada petani, serta koperasi kecil dan sederhana.
Dia juga berikrar untuk memastikan kawasan luar bandar tidak ketinggalan dari segi infrastruktur dan akses kepada pendidikan, dan membantu merapatkan jurang pembangunan bandar-luar bandar.
Selain itu, dia berikrar untuk menggalakkan penyertaan belia yang lebih besar dalam pembangunan demokrasi dan ekonomi negara, dan menyeru kerajaan untuk menegakkan ketelusan dan akauntabiliti dalam kewangan awam dan pelaksanaan dasar.
“Saya percaya suara Negeri Sembilan mesti didengari dengan lantang dan jelas dalam membuat keputusan negara,” katanya.
Wu berkata dia menghormati suara yang mengkritiknya sebagai “orang luar” dan menerima mereka dengan fikiran terbuka.
“Walaupun saya dilahirkan di Johor, saya sudah lama berkhidmat di pelbagai negeri di seluruh negara. Senator dilantik di bawah Perlembagaan Persekutuan melalui pencalonan DUN. Saya menghormati semua prosedur dan keputusan.
“Saya juga mengakui bahawa pandangan yang berbeza adalah sebahagian daripada demokrasi, dan saya tidak akan membenarkan sentimen peribadi mengatasi tanggungjawab saya yang lebih luas.
“Saya menjunjung tinggi suara semua veteran parti dan ahli akar umbi. Kritikan bukan masalah – tapi berdiam diri. Asalkan niat ikhlas dan untuk kebaikan negara dan rakyat, saya sentiasa bersedia untuk mendengar,” katanya.
Wu, 61, telah lama terlibat dalam khidmat masyarakat dan organisasi akar umbi dalam parti. Menurut Bernama, dia juga terlibat dalam menyelaraskan usaha bantuan banjir DAP pada 2014 dan 2021.
Sementara itu, Jufitri, 46, adalah Ketua PKR Cabang Rembau dan pernah berkhidmat sebagai presiden Majlis Belia Malaysia dari 2018 hingga 2022. Dia juga aktif dalam kerja profesional belia dan advokasi untuk orang kurang upaya.