Bekas pemimpin Bersih, Mandeep Singh, setuju dengan rancangan kerajaan untuk menguatkuasakan semula sekatan perjalanan ke luar negara ke atas peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang gagal membuat bayaran balik pinjaman.
Mandeep berkata pendekatan yang diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2026 pada Jumaat lalu adalah lebih adil dan progresif berbanding pelaksanaan sebelum ini.
Dia berkata dasar baru yang diumumkan kerajaan kini lebih seimbang dan inklusif, kerana memberi ruang kepada peminjam untuk berbincang dengan PTPTN dan menyusun semula pelan pembayaran berdasarkan kemampuan kewangan.
Katanya lagi, ia berbeza dengan pelaksanaan larangan perjalanan ketika di bawah pentadbiran terdahulu apabila sekatan dibuat secara automatik selepas enam bulan tanpa mengambil kira situasi kewangan atau status pekerjaan peminjam.
“Ketika itu ia dikritik hebat kerana bersifat menghukum dan menekan golongan muda yang baru menamatkan pengajian serta belum ada pendapatan tetap,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.
Dia yang juga pegawai khas kepada Menteri Digital Gobind Singh Deo ditanya mengenai penguatkuasaan yang dikenakan ke atas individu berpendapatan RM6,000 dan culas melunaskan hutang masing-masing.
Mandeep menjelaskan jumlah yang ditetapkan itu munasabah kerana peminjam yang meraih pendapatan sebegitu sudah stabil dari segi ekonomi untuk mula membayarnya.
“Langkah itu juga memastikan golongan berpendapatan rendah tidak terbeban, manakala mereka yang mampu melaksanakan tanggungjawab masing-masing,” tambahnya.

Untuk rekod, Mandeep memfailkan saman terhadap PTPTN pada 20211 apabila dia disenarai hitam kerana didakwa gagal melunaskan bayaran pinjaman kepada tabung terbabit.
Dia memfailkan saman tersebut atas dakwaan difitnah dan ditahan secara salah selepas dia disenarai hitam.
Bagaimanapun mahkamah kemudian menolak saman yang difailkannya itu.
Dokumen ringkasan Belanjawan 2026 menyatakan senarai hitam akan menyasarkan dua kategori peminjam, iaitu peminjam yang bekerja di luar negara dan peminjam yang mempunyai tunggakan melebihi lima tahun dan berpendapatan lebih daripada RM6,000 sebulan.
Mandeep menekankan dasar baru kerajaan Madani merupakan hasil perjuangan aktivis pelajar yang menuntut agar sistem pembayaran balik PTPTN lebih adil, telus dan berpaksikan kemampuan sebenar peminjam.
“Dasar baru itu menunjukkan kerajaan akhirnya mendengar suara mahasiswa dan mengiktiraf kepentingan akses pendidikan yang tidak menghukum selepas tamat pengajian,” katanya.
Dia turut menyifatkan dasar itu sebagai langkah positif yang bukan sahaja baik untuk negara, malah selaras dengan janji manifesto PH pada pilihan raya lalu.
Manifesto tersebut menyebut tentang jadual pembayaran semula berasaskan gaji graduan baru “bermula RM4,000 dengan peratusan meningkat mengikut gaji.”
“Ini sebenarnya apa yang kami – aktivis pelajar – perjuangkan selama bertahun-tahun iaitu supaya graduan tidak lagi dihukum kerana ingin melanjutkan pelajaran.
“Dasar baru ini adalah langkah yang baik untuk negara dan membuktikan bahawa suara pelajar akhirnya didengari,” katanya lagi.






