Digelar sebagai ‘bapa pendrive’, anak kelahiran Sekinchan Pua Khein Seng tidak pernah menyangka bahawa perjalanan hidupnya sejak kecil akan membawanya ke dunia teknologi yang menguntungkan.
Dilahirkan dalam keluarga pekebun sayur pada tahun 1974, anak sulung daripada tiga beradik ini membesar dengan menyaksikan ayahnya berjuang setiap hari untuk mencari nafkah.
Bahkan dalam detik-detik yang paling sukar, keluarga Pua tidak mampu menyediakan makanan di atas meja.
“Hidup sangat susah. Saya masih ingat ketika saya berumur kira-kira 10 tahun, adik bongsu saya baru lahir.
“Saya bersekolah di SRJK (C) Yuk Chyun, yang ada sesi pagi dan petang. Saya sesi pagi. Jadi selepas sekolah, saya pulang sekitar pukul 1 tengah hari untuk makan tengah hari, tetapi di rumah tiada apa-apa. Tiada makanan. Sebab tiada wang.
“Itu sangat mencabar kerana pendapatan dari berkebun tidak tetap. Ada masa seluruh keluarga terpaksa bertahan (tanpa makanan) selama beberapa hari.
“Pernah suatu ketika saya terpaksa pergi ke rumah datuk untuk meminjam wang, yang kemudian saya serahkan kepada ibu untuk membeli beras dan makanan,” kata Pua dalam satu wawancara dengan Malaysiakini.
Membina empayar teknologi
Pada tahun 2000, Pua menubuhkan Phison Electronics Corporation bersama empat rakan lain. Syarikat ini bertanggungjawab membangunkan pengawal pemacu kilat USB cip tunggal pertama di dunia dan berjaya melancarkan produk berasaskan USB yang dinamakan Pendrive.

Hari ini, syarikat reka bentuk litar bersepadu (IC) yang beribu pejabat di Taiwan itu bernilai berbilion dolar dan menggajikan lebih 4,000 orang.
Menurut Pua, dia pada mulanya merancang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pertanian selepas menamatkan sekolah di Pin Hwa High School, Klang pada tahun 1992.
Namun, idea itu ditolak oleh keluarganya, menyebabkan dia bercadang menyambung pengajian dalam bidang kimia.
“Saya bertanya kepada guru kimia saya untuk pergi ke Taiwan belajar kejuruteraan kimia. Tapi guru saya terus kata ‘jangan, jangan buat tu’ kerana ia hanya akan bawa saya bekerja di kilang membuat minyak dan sebagainya.
“Guru saya kemudian sarankan saya sambung belajar dalam bidang elektronik. Dan saya buat begitu. Jadi, jujur saya katakan, bila saya sampai di Taiwan, saya langsung tidak tahu apa-apa tentang elektronik.
“Jadi, saya ingin katakan saya bernasib baik,” ujarnya.
Pua yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak, menamatkan Ijazah Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Elektrik dan Kawalan di National Chiao Tung University (NCTU) sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang yang sama.
Inovasi yang mengubah dunia
Ketika menyambung pengajian, usahawan ini memperoleh pengalaman apabila terlibat dalam projek pengawal cip memori di makmal NCTU di bawah penyeliaan seorang profesor.
Pua kemudian bekerja seketika di syarikat swasta milik profesornya sebelum dia menubuhkan Phison.
Pada peringkat awal, katanya, Phison bergelut untuk bertahan kerana hanya berjaya mengumpul modal kurang daripada AS$1 juta untuk memulakan aktiviti reka bentuk IC.
“Mujur, pada awal 2001, seorang pelanggan datang bertanya sama ada kami boleh (membuat reka bentuk IC) untuk pemacu USB. Hari ini pemacu USB popular tetapi masa itu ia sangat baru.
“Mereka tanya Phison boleh buat atau tidak? Kami ambil masa tiga bulan menghasilkan sistem cip (SOC) pertama di dunia. SOC USB drive pertama dihantar pada April 2001.
“Kemudian kami dapat pesanan besar pertama pada Ogos tahun yang sama daripada Fujitsu-Siemens Eropah. Pada masa itu ia antara lima pembuat notebook teratas.
“Jadi, dengan pesanan itu, Phison mula capai titik pulang modal. Kemudian kami berkembang dari 2001 sehingga kini, daripada perniagaan jutaan hingga berbilion nilai pasaran,” katanya.
Dalam temubual itu, Pua juga membetulkan fakta mengenai penciptaan Pendrive oleh Phison.

Bertentangan dengan kepercayaan umum, katanya Phison bukan pencipta USB drive kerana konsep itu diperkenalkan oleh IBM pada tahun 1997.
Sebaliknya, syarikat itu menghasilkan pemacu USB pertama yang menggunakan SOC, yang merupakan perkembangan teknologi yang revolusioner.
Pada tahun 2001, pemacu USB 16 megabait yang dihasilkan oleh pengeluar lain mencecah harga AS$100 kerana produk tersebut menggunakan beberapa cip, tambahnya.
“Namun dengan penyelesaian cip tunggal, ia lebih mudah dibangunkan, diintegrasikan dan ditawarkan pada harga yang lebih baik,” kata Pua, sambil menambah inovasi itu menyebabkan kekurangan besar pemacu USB di pasaran akibat lonjakan permintaan pengguna.
Bukan kejar untung semata-mata
Menurut Pua, usaha berterusan membawa Phison ke tahap lebih tinggi bukan semata-mata untuk mencari keuntungan.
Katanya, matlamat utama adalah memastikan Phison kekal menguntungkan supaya dapat terus memperbaiki kehidupan pekerjanya, terutamanya kerana kos hidup di Taiwan adalah “sangat tinggi”.
“Saya sentiasa risau di Taiwan kerana bila mereka tamat belajar, mereka perlu beli rumah, kahwin, bina keluarga, kan?
“Tapi harga rumah di Taiwan sangat tinggi. Sangat tinggi. Bagaimana mereka nak beli rumah sendiri dalam tiga hingga lima tahun?
“Jadi, apa yang saya paling hargai adalah… saya perlu buat Phison sangat menguntungkan supaya kami dapat beri bonus lebih kepada pekerja, supaya pekerja gembira bekerja di Phison, secara berterusan, dan mereka boleh memperbaiki kehidupan mereka.”
Aspirasi masa depan
Usahawan itu juga berkongsi hasrat suatu hari nanti untuk menyerahkan operasi perniagaan dan bersara supaya boleh menjalani “hidup sendiri”.
Pernah bermain bola keranjang semasa di sekolah menengah, Pua beralih kepada sukan golf selepas menceburi dunia perniagaan, namun kini terpaksa mengurangkan aktiviti itu kerana sukan itu mengambil masa yang terlalu banyak.
“Saya rasa saya akan kembali bertani,” katanya ketika ditanya tentang rancangannya apabila bersara kelak.
Ditanya apakah mesej yang ingin disampaikan kepada generasi muda, Pua berkata untuk mencapai kejayaan, seseorang itu perlu tabah tidak kira betapa sukarnya cabaran yang dihadapi.
“Bekerja keras. Bekerja dengan bijak. Bertanggungjawab. Kemudian suatu hari, saya percaya anda akan berjaya,” katanya.