Lima penyandang Adun Parti Solidariti Tanah Airku (Sabah Star) mengisytiharkan sokongan mereka kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dan menjauhkan diri mereka daripada keputusan presiden parti Jeffrey Kitingan untuk parti itu bertanding secara solo pada pilihan raya negeri akan datang.
Ketua menteri sementara Hajiji Noor mengesahkan bahawa Timbalan Presiden Sabah Star Ellron Angin (Sook) dan Robert Tawik (Bingkor), serta Abidin Madingkir (Paginatan), Annuar Ayub (Liawan), Flovia Ng (Tulid) memilih untuk bersama GRS walaupun parti mereka dipecat secara automatik daripada gabungan itu selepas memilih untuk menggunakan logonya sendiri.
“Jika mereka bertanding di bawah logo mereka sendiri, mereka secara automatik terkeluar daripada GRS. Tetapi lima orang ini telah menyatakan dengan jelas bahawa mereka bersama kami, bukan bersama Jeffrey,” kata Hajiji selepas mengumumkan pembubaran DUN di Menara Kinabalu hari ini.
“Apa yang berlaku selepas pilihan raya akan ditentukan oleh rakyat,” kata Hajiji.
Daripada lima itu, hanya Robert Tawik yang tidak hadir dipercayai atas faktor kesihatan.
Hajiji menegaskan bahawa GRS tidak akan menghalang Sabah Star atau mana-mana pihak daripada bertanding sendiri.
“Jika mereka menggunakan logo mereka sendiri, mereka bukan lagi GRS dan akan bertanding menentang kami,” katanya.
Mengulas Parti Bersatu Sabah (PBS), Hajiji menggunakan nada berbeza, menyifatkan gabungan itu sebagai “teguh dan stabil” bersama mereka.
“Dengan rakan komponen kami, terutamanya PBS, GRS akan diteruskan sebagai pakatan bersatu di Sabah,” tambahnya.
Tindakan lima penyandang itu menimbulkan persoalan mengenai pengaruh Jeffrey terhadap partinya dan sama ada dia akan mencari calon pengganti bagi kerusi berkenaan.
Pada peringkat ini, masih belum jelas sama ada mereka berlima akan diletakkan sebagai calon rasmi GRS pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Jeffrey membawa partinya meninggalkan GRS, dikatakan kerana perselisihan faham dengan gabungan itu yang bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang berpangkalan di Semenanjung.
Kitingan, Hajiji dan ramai lagi Adun terpalit dengan dakwaan rasuah berhubung projek carigali mineral di negeri ini.
Dua daripada lima Adun Sabah Star yang menentang Jeffrey – Ellron dan Tawik – juga dituduh masing-masing menerima rasuah RM500,000 dan RM300,000 daripada ahli perniagaan Albert Tei. Ellron menafikan dakwaan tersebut.






