Malaysia Oversight

Dua pertiga ahli politik dapat NFA: ‘Balik main kucing je lah’

By MkiniBM in September 12, 2025 – Reading time 2 minute
Dua pertiga ahli politik dapat NFA: 'Balik main kucing je lah'


Rafizi Ramli menyorot pendedahan bahawa lebih dua pertiga kes melibatkan ahli politik berakhir dengan “tiada tindakan lanjut” (NFA), yang nampaknya membuatnya sehingga kelu lidah untuk mengulas isu berkenaan.

Bekas menteri itu mengakui dia sendiri sudah tidak tahu lagi apa yang perlu dikatakan mengenai perkara itu.

“Bila lebih dua pertiga diberi anugerah NFA dan tidak didakwa pun, saya fahamlah kalau rakyat bandingkan dengan layanan terhadap rakyat biasa yang dituduh mencuri susu.

“Saya pun dah tak tahu nak komen apa. Kita balik main dengan kucing je lah macam ni,” katanya di X.

Pada 4 Sept, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said memberitahu Parlimen bahawa dua pertiga daripada kertas siasatan dibuka antara 2020 dan Julai tahun ini mengenai kes jenayah melibatkan ahli politik telah diklasifikasikan sebagai NFA.

Memetik data Jabatan Peguam Negara (AGC), dia berkata 41 daripada 60 kes sedemikian telah dikategorikan sebagai NFA.

Menteri itu bagaimanapun menegaskan pihak berkuasa diberi kuasa untuk menjalankan siasatan lanjut ke atas kes yang diklasifikasikan sebagai NFA jika keadaan berubah pada masa hadapan.

Dalam catatannya, Rafizi secara sinikal berkata NFA sebagai satu ‘penghormatan’ yang menjadi lebih berprestij daripada pingat biasa.

“Cara lain nak tengok kehebatan anugerah ini – susah untuk disenarai pendek, tetapi bila dah masuk senarai pendek, peluang nak dapat anugerah ini mudah.

“Sebab 41 yang menerima dari 60 yang disenarai pendek itu bermaksud 68%, iaitu lebih dari dua pertiga akhirnya berjaya.

“Nilai anugerah kebesaran ini pula saya ingat mesti berjuta-juta, sebab setiap yang disenarai pendek mesti melibatkan urusniaga melibatkan juta-juta,” tambahnya.

Untuk berlaku adil, Rafizi berkata tiada maklumat terperinci mengenai kes jenayah mana atau ahli politik mana.

“Yang kita tahu, ia melibatkan dua pentadbiran dan tiga perdana menteri dalam tempoh 2020 hingga Julai 2025, iaitu pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di bawah Yassin dan Ismail Sabri Yaakob, serta pentadbiran Madani di bawah Ibrahim.

“Jadi semua parti dan ahli politik dari parti yang berbeza-beza ini tidak boleh tuding jari siapa yang lebih teruk, sebab prestasi anugerah 68% NFA kepada ahli politik yang dibuka kertas siasatan jenayah ini melibatkan ketiga-tiga perdana menteri dan PH, dan PN,” katanya.

Walaupun butiran kes tidak tersedia, Rafizi berkata tidak mungkin ahli politik itu disiasat kerana mencuri susu, sambil menyatakan bahawa kes seperti itu lazimnya melibatkan penyalahgunaan kuasa dan rasuah berbanding keperluan kewangan.

“Kecualilah zaman saya sepuluh tahun lepas semasa saya membongkarkan skandal-skandal besar negara. Masa itu semua dakwaan terhadap saya tidak ada kena mengena dengan rasuah atau salah guna kuasa.

“Semuanya berkaitan usaha menutup mulut saya dari bersuara, jadi saya didakwa di bawah Akta Hasutan, didakwa menghina dan lain-lain.

“Tapi seingat saya selepas 2018, dakwaan seperti itu sudah tidak ada kerana tak ada ahli parlimen yang ambil risiko bongkar rasuah.

“Maka, jangkaan saya, antara tahun 2020 hingga 2025 ni sebahagian besar kertas siasatan terhadap ahli politik, besar kemungkinannya adalah berkaitan salah guna kuasa dan rasuah,” katanya lagi.



Source link