Malaysia Oversight

Dua pegawai polis antara enam ditahan SPRM buat tuntutan palsu RM15 juta 

By Utusan in April 24, 2025 – Reading time 2 minute
Dua pegawai polis antara enam ditahan SPRM buat tuntutan palsu RM15 juta 


PETALING JAYA: Enam individu termasuk seorang pengarah syarikat, ketua pegawai kewangan (CFO) dan dua pegawai polis ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki terlibat tuntutan palsu bernilai kira-kira RM15 juta.

Penahanan kesemua individu itu dibuat menerusi Op C4i kerana membuat tuntutan palsu bagi Perolehan Kontrak Perkhidmatan Penyelenggaraan Sistem Command & Control, Communication & Computer Integration (C4i).

Dua pegawai polis ditahan berpangkat superintenden dan inspektor. 

Menurut sumber, suspek yang terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30 dan 50-an telah ditahan sekitar pukul 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM .

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2022 hingga tahun ini dengan bersubahat mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM15 juta.

“Siasatan mendapati tuntutan dibuat namun sebahagian daripada kerja-kerja komponen di khidmat sokongan tidak dilaksanakan seperti kehendak kontrak,” kata sumber itu

Sumber berkata, nilai projek C4i keseluruhannya dianggarkan bernilai kira-kira RM70 juta yang diberikan kepada PDRM dan diuruskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menurut sumber, penggeledahan telah dilakukan di 15 lokasi termasuk di KDN dan beberapa buah syarikat di sekitar Johor, , serta Kuala Lumpur.

Susulan itu, SPRM menyita empat unit kenderaan mewah bernilai kira-kira RM1.3 juta selain membekukan 51 akaun bank melibatkan 30 akaun individu dan 21 akaun perniagaan milik 10 syarikat dengan nilai keseluruhan RM3.5 juta.

Menerusi operasi yang dijalankan dengan kerjasama PDRM itu, SPRM turut merampas wang tunai kira-kira RM9,000, sejumlah mata wang asing beberapa buah negara dan sembilan unit telefon bimbit.

Susulan itu, perintah reman selama tujuh hari sehingga 30 April ini telah dikeluarkan Majistret Muhammad Fadzlan Mohd Noor selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan turut disiasat di bawah Seksyen 4(1) AMLA. – UTUSAN





Source link