Dua pegawai penguatkuasa ditahan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini malam tadi kerana disyaki terlibat dalam kegiatan salah laku ‘Flying Passport’.
Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) CIQ BSI Roszita Dim berkata penahanan pegawai penguat kuasa lelaki berumur 31 tahun dan penyelia lelaki, 49, itu dilakukan pada 9 malam oleh pasukan Unit Pematuhan AKPS BSI.
Beliau berkata pemantauan yang dilakukan kira-kira pukul 7.30 malam oleh pasukan Unit Pematuhan AKPS BSI telah mengesan beberapa kemasukan data pelawat yang meragukan melalui ID pengguna seorang pegawai yang bertugas di kaunter zon kereta.
“Unit Pematuhan turut mengesan data pelawat asing yang berada dalam kategori pelawat bermasalah yang memerlukan tindakan pembetulan ralat oleh penyelia bertugas.
“Selain itu, turut dikesan tindakan pelepasan ralat terhadap data pelawat bermasalah yang telah dilakukan melalui ID seorang penyelia yang bertugas di zon motosikal,” katanya dalam sidang media di CIQ BSI, hari ini.
Mengulas lanjut, Roszita berkata hasil pemeriksaan yang dijalankan di kaunter kereta juga telah menemukan wang tunai berjumlah RM2,800 serta dua unit telefon bimbit dalam simpanan pegawai.
Beliau berkata menerusi soal siasat yang dijalankan, berjaya membawa kepada penemuan sejumlah 11 pasport warganegara China dan tiga pasport warganegara Indonesia di dalam sebuah beg berwarna hitam yang disembunyikan di atas siling kaunter berlainan.
“Unit Pematuhan AKPS BSI yang membuat pemeriksaan di kaunter penyelia zon motosikal turut menjumpai dua unit telefon bimbit yang seterusnya dirampas untuk siasatan lanjut.
“Kedua-dua pegawai terbabit telah ditahan dan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor kira-kira 10 pagi tadi untuk tindakan lanjut. Kes juga telah dilaporkan kepada Ketua Unit Integriti AKPS Putrajaya.
“Risikan dilakukan kira-kira seminggu, kita memang buat pemerhatian, sama ada kegiatan ini melibatkan sindiket atau tidak perkara itu masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, di KLIA, AKPS menolak kemasukan 99 warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, semalam selepas gagal melepasi saringan keselamatan.
AKPS dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesemua individu berkenaan terdiri daripada 80 warga Bangladesh, 10 dari India dan sembilan dari Pakistan
“Penolakan dibuat kerana mereka gagal memenuhi syarat imigresen termasuk mempunyai tujuan lawatan dan rekod perjalanan yang meragukan.
“Kesemua 99 individu berkenaan yang merupakan lelaki telah diuruskan untuk proses dokumentasi lanjut dan dihantar pulang semula ke negara asal mengikut prosedur undang-undang sedia ada,” menurut kenyataan itu.
AKPS memaklumkan operasi intensif selama tujuh jam bermula 9.30 pagi itu diketuai Unit Pemantau KLIA Terminal 1 dengan sokongan Unit Integriti yang telah memeriksa lebih 400 individu dan menyasarkan penerbangan berisiko tinggi.
“Ia melibatkan semakan latar belakang, dokumentasi perjalanan dan temu bual secara individu,” menurut kenyataan itu.
AKPS memaklumkan langkah penguatkuasaan seperti itu akan terus dipertingkatkan secara berkala sebagai strategi proaktif bagi menangani ancaman seperti sindiket penyeludupan manusia dan penyalahgunaan pas lawatan sosial.
– Bernama