LUMUT: Dua beranak maut apabila motosikal yang ditunggangi terbabas di Jalan Huntly, Kampung Sungai Batu, Pantai Remis, dekat sini, tengah malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 malam itu, seorang wanita, Hoo Suet Yi, 33, maut di tempat kejadian.
Sementara, anak lelakinya, Chan Jun Jie, 10, meninggal dunia ketika menerima rawatan di sebuah klinik di Pantai Remis.
Difahamkan, sebelum kejadian wanita tersebut mengambil anaknya daripada kelas tuisyen di Taman Bintang kira-kira pukul 9 malam, sebelum kedua-duanya pergi menghadiri program di sebuah tokong berhampiran.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abdul Rahman, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 12.45 tengah malam.
“Siasatan awal polis mendapati kedua-dua mangsa menunggang motosikal jenis Honda Vario dari arah pekan Pantai Remis menuju ke Kampung Baru Sungai Batu.
“Dipercayai motosikal tersebut hilang kawalan lantas terbabas sebelum melanggar tiang elektrik yang terletak di bahu kiri jalan,” katanya di sini malam ini.
Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu agar menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Nur Syafiqah Baharudin di talian 05-6899072. – UTUSAN






