Dua adik-beradik dari India yang didakwa diperdagangkan sebagai pelacur selepas dibawa masuk ke Malaysia untuk bekerja sebagai pembantu rumah berjaya diselamatkan polis dalam serbuan di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Presiden Pertubuhan Kebajikan Global Keselamatan Manusia Malaysia, Kamalanathan Thanimalay, 57, mendakwa kedua-dua mangsa — Sangeetha Saravanan dan Saranya Bakkiyaraj — berasal dari Thanjavur, India dan tiba di Malaysia pada 7 September melalui seorang ejen pekerjaan.
Kamalanathan memberitahu Malaysiakini ejen tersebut menjanjikan pekerjaan sebagai amah sebelum kedua-dua wanita berkenaan dipaksa melayan pelanggan sebagai pelacur selepas dipindahkan ke sebuah hotel.
“Kedua-dua wanita itu berjaya menghubungi saya pada 29 September untuk meminta bantuan selepas mendakwa dipukul, diugut, dan dikurung oleh sindiket.

“Seorang wanita yang bernama Thanam digelar ibu ayam dipercayai dalang utama sindiket pemerdagangan manusia dan pelacuran di sekitar kawasan Jalan Masjid India dan Lebuh Ampang Kuala Lumpur,” katanya.
Dia turut mendakwa ‘Thanam’ menyamar sebagai pegawai penguat kuasa bagi menakut-nakutkan mangsa.
Susulan itu, dia membuat laporan kepada Bahagian Pencegahan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) serta Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Serbuan OP Pintas
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah JSJ Bukit Aman M Kumar, berkata polis kemudian melancarkan OP Pintas di hotel berkenaan pada jam 1 pagi, 30 September lalu.
Serbuan dilaksanakan Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) D3 Bukit Aman.
“Semua mangsa berusia 25 hingga 40 tahun itu pada asalnya dijanjikan pekerjaan sebagai pembantu rumah sebelum dipaksa menjadi pekerja seks dan dikawal ketat oleh sindiket.

“Dalam operasi sama, 12 individu turut ditahan terdiri daripada dua lelaki tempatan berusia 34 dan 63 tahun serta enam lelaki dan empat wanita warga India berusia antara 21 hingga 58 tahun,” katanya.
Kumar berkata kesemua suspek dipercayai anggota sindiket yang memperdagangkan wanita untuk eksploitasi seksual.
Thanam — wanita yang didakwa menjadi perekrut, pengurus lokasi dan pemungut hasil pelacuran — turut ditahan dalam operasi tersebut.
Kumar berkata sindiket menggunakan taktik memegang pasport, ugutan fizikal serta ancaman laporan palsu kepada pihak berkuasa untuk mengawal mangsa.
Mangsa di rumah perlindungan
Kedua-dua mangsa kini ditempatkan di rumah perlindungan polis dan dipercayai akan diberi status perlindungan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).
Mereka juga akan menerima rawatan dan sesi kaunseling bagi menangani trauma yang dialami.
i.






