Drew Struzan, Bapa Poster Filem Sains Fiksyen dan Fantasi Meninggal Dunia
Effi Saharudin
Di era Renaissance kita mempunyai Leonardo da Vinci, Raphael dan Michaelangelo yang terkenal dengan karya agung Mona Lisa dan bumbung Sistine Chapel. Di dunia moden, pelukis mungkin tidak begitu popular tetapi saya yakin ramai pernah melihat karya yang dihasilkan oleh Drew Struzan. Beliau menghasilkan poster filem Star Wars, Back to The Future, Jurassic Park, Blade Runner, The Thing, Harry Potter, Indiana Jones dan E.T the Extra Terrestrial sehingga menerima jolokan bapa poster sains fiksyen dan fantasi.

Dukacita dimaklumkan Struzan meninggal dunia pada usia 78 tahun, 13 Oktober lalu dengan kematian beliau diumumkan keluarga semalam. Kematian adalah disebabkan penyakit Alzheimer yang dihidapi beliau sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Beliau hanya didedahkan menghidap penyakit yang tidak boleh dirawat ini pada Mac lalu selepas ia menyebabkan Struzan tidak lagi boleh berkarya.
Sepanjang kerjaya selama lima dekad, Struzan menghasilkan lebih 150 poster filem dengan karya terakhir yang dihasilkan ialah untuk trilogi How to Train Your Dragon pada tahun 2019.

Gaya rekaan poster beliau yang realistik, dinamik dan sinematik menjadi ikutan bukan sahaja dalam kalangan pereka poster filem lain tetapi juga ratusan pelukis komik yang mengatakan poster yang dihasilkan menjadi inspirasi semasa membesar. Jim Lee, J Scott Campbell dan Alex Ross adalah antara tiga nama besar dunia komik yang mengatakan struzan menjadi inspirasi kepada mereka semasa membesar.
Beliau menghasilkan poster menggunakan teknik catan dan berus angin sehingga ke akhir hayat walaupun dunia sudah berpindah ke dunia digital. Walaupun lebih dikenali sebagai pelukis poster filem nombor satu Hollywood, mendiang memulakan kerjaya sebagai pelukis album muzik untuk artis seperti Bee Gees, Black Sabbath, Earth, Wind & Fire, dan Alice Cooper.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






