Peguam Haniff Khatri Abdulla memberi pandangan sama ada pertuduhan terhadap pembuli Zara Qairina Mahathir hari ini akan menghalang mereka daripada didakwa atas jenayah yang lebih serius berkaitan kematiannya.
Menurut peguam veteran itu, ia bergantung kepada sama ada pertuduhan adalah berdasarkan peristiwa sejurus sebelum dia ditemui cedera parah pada 16 Julai, atau insiden jauh sebelum itu.
“Kalau tarikh-tarikhnya ialah seperti yang saya nyatakan di sini, iaitu sebelum 16 Julai, maka prinsip double jeopardy tidak akan terpakai.
“Yakni, jikapun inkues nanti mendapati bahawa salah seorang, ataupun beberapa orang, ataupun kesemua lima orang yang dicadangkan dituduh esok pun berada dalam apa-apa aktiviti pada 16 Julai yang mengakibatkan kematian itu, maka pertuduhan buli esok tidak akan menghalang mana-mana pertuduhan jenayah lain berkaitan kematian adik Zara yang mungkin akan dibawa oleh Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam video yang diterbitkan malam tadi.
‘Double jeopardy’ ialah prinsip undang-undang bahawa seseorang tidak boleh didakwa dua kali untuk kesalahan yang sama.
Haniff menyatakan bahawa polis telah mendapati bahawa Zara telah dibuli pada masa lalu.
Selain itu, katanya Zara dilaporkan menyimpan diari, dan tidak hairanlah jika ia mengandungi kejadian buli yang boleh disahkan dengan keterangan saksi apabila siasatan lanjut.
Sebaliknya, jika pertuduhan berkaitan insiden sejurus sebelum Zara didapati cedera pada 16 Julai, Haniff berkata ini sememangnya akan menimbulkan persoalan tentang double jeopardy, yang mungkin timbul jika inkues kemudian mendapati unsur jenayah dalam punca kematian Zara.
Zara ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama SMKA Tun Datu Mustapha di Papar pada 4 pagi pada 16 Julai, dan disahkan meninggal dunia pada hari berikutnya di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu.
Kematiannya telah mencetuskan pelbagai konspirasi, termasuk dakwaan cubaan untuk menyembunyikan kejadian sebenar.
Pada Isnin, Peguam Negara Dusuki Mokhtar berkata lima remaja akan didakwa di Mahkamah Juvana Kota Kinabalu kerana didakwa membuli Zara, mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan, berkaitan kesalahan menggunakan atau membuat sebarang perkataan atau komunikasi yang mengancam, kesat atau menghina.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga setahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
Ini sementara inkues koroner mengenai kematiannya dijadualkan bermula pada 3 Sept, dengan prosiding dijadualkan sehingga 30 Sept.
Berikutan pengumuman Dusuki itu, pasukan undang-undang yang mewakili keluarga Zara menggesa peguam negara itu semalam supaya mengenakan dakwaan lebih serius terhadap penyerang Zara, dan menghentikan pertuduhan jika perlu untuk mengumpul lebih banyak bukti.
Mereka turut melahirkan kebimbangan bahawa suspek tidak boleh didakwa dengan kesalahan yang lebih serius nanti jika mereka mengaku bersalah terhadap Seksyen 507C(1).
Jabatan Peguam Negara sejak itu menjelaskan bahawa pertuduhan yang akan dibentangkan hari ini hanya berkaitan dengan bukti buli sedia ada, manakala inkues akan meneliti punca kematian Zara.
Sementara itu, Haniff berkata kebimbangan yang diutarakan oleh peguam keluarga Zara adalah sah, tetapi orang ramai perlu menunggu sehingga pertuduhan dibacakan dan dilaporkan dalam media, sebelum membuat penghakiman mengenai isu itu dan memutuskan sama ada AGC terburu-buru.
“Saya percaya Jabatan Peguam Negara mempunyai pegawai-pegawai yang berwibawa, yang mempunyai pengalaman pengedalian kes-kes jenayah secara khusus dan lama untuk tempoh berdekad-dekad.
“Mereka pun tahu prinsip double jeopardy,” katanya.