SHANGHAI: Novak Djokovic membuktikan mengapa dia digelar ‘raja kebangkitan’ apabila menundukkan Jaume Munar dari Sepanyol 6-3, 5-7, 6-2 meskipun berdepan keletihan melampau dan kecederaan buku lali dalam aksi penuh dramatik di Shanghai Masters, kelmarin.
Pemain berusia 38 tahun itu hampir tidak mampu meneruskan permainan selepas set kedua, namun semangat juangnya menyala semula apabila mematahkan servis lawan dua kali dalam set penentuan untuk mara ke suku akhir.
“Terima kasih, terima kasih semua, saya sayang kamu,” jerit Djokovic dalam bahasa Mandarin sambil melambai kepada ribuan penyokong China yang berdiri memberi sorakan gemuruh sebaik perlawanan tamat.
Walaupun menahan kesakitan selepas tergelincir ketika menuju ke jaring pada set pertama, juara Grand Slam 24 kali itu tetap meneruskan permainan selepas mendapatkan rawatan perubatan di tepi gelanggang.
Keadaan Djokovic bertambah sukar apabila dia kelihatan keletihan dan muntah di gelanggang, namun sorakan penyokong yang mengibarkan bendera Serbia ternyata menjadi suntikan semangat luar biasa untuknya bangkit semula.
Kemenangan itu bukan sahaja mengekalkan peluangnya memburu gelaran kelima di Shanghai, malah menjadikan Djokovic pemain tertua dalam sejarah ATP Masters 1000 mara ke suku akhir.
Dengan ketiadaan Carlos Alcaraz dan penyingkiran Jannik Sinner, Alexander Zverev serta Taylor Fritz, Djokovic kini muncul sebagai pemain berstatus ranking tertinggi yang masih bertahan dalam kejohanan penuh cabaran cuaca lembap dan panas itu.
Seterusnya, Djokovic bakal berdepan pemain ranking ke-44 dunia dari Belgium, Zizou Bergs pagi ini bagi merebut tiket ke separuh akhir dalam misi mengukuhkan status legenda hidup tenis dunia. – AGENSI






