Malaysia Oversight

Diugut netizen, pakar patologi lapor polis

By MkiniBM in September 6, 2025 – Reading time 2 minute
Diugut netizen, pakar patologi lapor polis


Pakar patologi forensik, Dr Jessie Hiu, yang baru-baru ini memberi keterangan dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir, dilaporkan telah membuat laporan polis berhubung ugutan yang diterimanya di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Kasim Muda dipetik BH Online mengesahkan perkara itu.

“Kami terima laporan daripada beliau petang semalam.

“Dalam laporan itu, Dr Jessie menyatakan beliau dimaklumkan oleh Pengarah Hospital Queen Elizabeth mengenai ancaman berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, laporan itu menyebut Kasim tidak menghuraikan butiran lanjut mengenai aduan Hiu.

Zara, pelajar berusia 13 tahun dari Papar, ditemui cedera dan tidak sedarkan diri di kawasan sekolah pada 16 Julai lalu. Walaupun dibawa ke hospital, dia meninggal dunia pada keesokan harinya.

Kes itu dipercayai berkaitan dengan insiden buli yang berlarutan selama beberapa bulan, dengan lima remaja telah didakwa kerana membulinya. Inkues yang sedang berlangsung ini merupakan prosiding mahkamah berasingan untuk menentukan punca dan keadaan sekitar kematiannya.

Dalam keterangannya pada 3 dan 4 Sept, Hiu memberitahu Mahkamah Koroner bahawa kecederaan Zara konsisten dengan kes jatuh dan tidak mungkin dia terjatuh dari asrama secara tidak sengaja.

Namun, ketika ditanya jika Zara mungkin meninggal dunia akibat bunuh diri, Hiu berkata perkara itu perlu diputuskan oleh Mahkamah Koroner.

Keterangan Hiu mencetuskan kecaman di media sosial, dengan sebahagian netizen mempersoalkan kredibilitinya dan menghamburkan kata-kata menghina.

Terdahulu hari ini, Peguam Negara Dusuki Mokhtar dilaporkan berkata pihaknya sedang meneliti kandungan yang dimuat naik di media sosial berkaitan kematian Zara.

“Kita akan tengok apa kandungan dimuat naik di media sosial termasuk Tiktok, kita akan kaji dahulu (kandungan) sebelum kita ambil apa-apa tindakan selanjutnya. Buat masa ini proses masih berjalan dan kita akan teliti satu per satu.

“Apa yang kami harapkan, biar proses inkues itu berjalan. Jangan terburu-buru mahu mengeluarkan komen atau apa-apa keputusan.

“Beri ahli pakar patologi memberi keterangan sepenuhnya…kita tahu sesetengah pihak ada pertikai keterangan (patologi), itu tidak elok,” katanya seperti dipetik Bernama.

Dalam pada itu, dia berkata pihaknya tidak berhasrat mendakwa mana-mana suspek lain sehingga inkues selesai dan hasilnya diteliti.

Inkues berkenaan dijadual bersambung pada Isnin ini.

Nota bantuan

Bunuh diri fenomena rumit dengan pelbagai faktor penyumbang namun ia boleh dicegah dan masih ada sinar pemulihan. Jika anda atau seseorang yang anda kenali sedang bergelut dengan kesukaran itu, anda tidak keseorangan — sila dapatkan bantuan melalui saluran berikut:

  • Talian Kasih Hotline: 15999 (Telefon) / +6019 26 15999 (WhatsApp)

  • Talian Heal Kementerian Kesihatan: 15555 (8 pagi – 12 tengah malam setiap hari)

  • The Befrienders Hotline: 03-76272929

  • Agape Counselling Centre Malaysia Hotline: 03-77855955 atau 03-77810800

  • Life Line Association Malaysia Hotline: 03-42657995



Source link