Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz terpaksa berkongsi sijil halal sebuah restoran Cina dikunjunginya setelah diserang pengguna maya.
“Semasa saya pergi ke kedai, saya tengok sijil halal di sana. Gambar sijil halal pun saya ada kongsi di post (hantaran media sosial).
“Ada yang kata bila check (periksa) di laman web Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), sijil halal dah ditarik balik, tapi bila kita tengok ada sijil halal di kedai, jaranglah kita nak double check di portal pula.
“Insya-Allah, kita sama-sama mengingatkan antara kita,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada pihak yang memberi teguran.
Zafrul kelmarin berkongsi gambar dia dan keluarga menikmati hidangan di restoran yang mempunyai pengiktirafan Michelin itu.
Mereka antaranya menikmati laksa, kuetiau udang dan telur dadar tiram.
“Panjang betul orang beratur kat Penang Road Famous Laksa. Betullah kata orang, kalau sedap, memang orang sanggup beratur.
“Tambah lagi restoran yang ada pengiktirafan Michelin! Bukan senang nak dapat tau.
“Dah habis laksa, kita sambung pula dengan cendol. Tak sah datang Penang kalau tak pekena cendol.
“Kalau you all datang Penang, bolehlah cuba singgah kat sini. Memang best!” katanya.


Bagaimanapun, ramai pengguna maya mempertikaikan tindakannya makan di kedai Cina.
“Kami orang Penang pun tak masuk sebab terang-terang kedai Cina. Kedai Melayu berlambak lagi ada,” kata seorang pengguna.
“Makanan yang syubhah (meragukan), astaghfirullahalazim,” kata seorang pengguna lain.