“Saya tak dengar apa-apa masa itu,” kata Muhammad Farid Muhammad Mustafa, 39, seorang individu pekak, ketika mengenang semula detik dia ditampar oleh seorang lelaki di sebuah masjid di ibu negara baru-baru ini.
“Pada hari itu, saya pergi ke masjid untuk solat Asar. Lepas solat, saya duduk di tangga masjid sambil membalas mesej WhatsApp. Masa tu saya tak pakai implan koklea (alat bantuan pendengaran) sebab rambut kiri masih basah selepas ambil wuduk.
“Bila saya tak pakai alat itu, pendengaran saya memang kosong — ZERO,” cerita Farid.
Jelasnya, ketika itu, seorang lelaki warga emas tersalah tafsir situasi, menganggapnya tidak menjawab salam.
“Tiba-tiba dia datang dan tampar saya. Saya terkejut, marah dan sedih. Tapi saya tak membalas. Saya hanya kata baik-baik, ‘Maaf pak cik, saya OKU pendengaran, saya tak pakai alat sebab rambut saya basah’,” katanya.
Selepas mendengar penjelasannya, lelaki warga emas itu rasa bersalah dan terus bersalam dengan Farid.
Farid menambah, ketika insiden itu berlaku, tiada jemaah lain atau pengawal keselamatan di kawasan tersebut.
Dia juga memilih untuk tidak memperbesarkan kejadian itu, meskipun ia meninggalkan kesan emosi.
“Walau perit, tapi itu ujian,” ujarnya.
Farid turut mendedahkan bahawa ini bukan kali pertama dirinya disalah faham akibat kekurangannya.
Insiden tersebut menyebabkan Farid meninggalkan masjid berkenaan dan mencari masjid lain untuk menunaikan solat.
Peka terhadap komuniti OKU
Farid yang juga pemilik kafe Silent Brew Coffee – sebuah perniagaan yang memberi peluang kepada komuniti pendengaran untuk bekerja dan berinteraksi dalam suasana inklusif – berharap masyarakat lebih memahami realiti hidup golongan seperti dirinya.
Kata Farid, sikap sabar dan empati perlu dipupuk terutama di tempat awam seperti rumah ibadat, agar kejadian seperti ini tidak berulang.

Jelasnya, kejadian seperti ini sudah beberapa kali terjadi di tempat awam — termasuk di rumah ibadat.
“Masa saya mula-mula pakai implan koklea pada hujung 2020, di satu masjid dekat Batu Caves, ada budak nakal cabut alat ni dari kepala saya masa khutbah Jumaat. Nasib baik alat tu saya klip pada baju.
“Bila saya tegur, bapanya pula marah saya. Hampir jadi pergaduhan. Saya terus keluar dan pergi ke masjid lain,” imbasnya.
Hidup sebagai OKU pendengaran
Farid berkongsi bahawa dia kehilangan pendengaran sepenuhnya ketika berusia 10 tahun akibat kemalangan.
Sebulan selepas kemalangan itu, dia disahkan mengalami kerosakan pada saraf dan koklea selepas menjalani pemeriksaan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
“Umur 12 tahun saya mula pakai hearing aid jenis gantung jenama Siemens, tapi saya tak pakai selalu sebab kerap dibuli. Saya belajar bahasa isyarat dan pandai baca gerak bibir, tapi sebab saya boleh bertutur, saya jarang guna bahasa isyarat,” kata Farid.
Namun, tambahnya, kehidupan di ruang awam dan rumah ibadat masih penuh cabaran.
“Susah bila orang tak faham. Dalam masjid, saya tak dapat dengar bacaan imam. Hearing aid tak banyak bantu. Tapi bila mula pakai implan koklea, Alhamdulillah, saya boleh dengar semula bacaan imam masa solat,” katanya.
Salah tanggap dan kekurangan empati masyarakat
Farid berkata salah satu cabaran terbesar bukan sekadar kehilangan pendengaran, tetapi kurangnya kesedaran masyarakat terhadap komuniti OKU.
“Ramai orang tak faham cara nak berkomunikasi dengan kami. Kadang-kadang mereka tak tahu pun kena tarik perhatian dulu sebelum bercakap, atau beri ruang untuk kami baca gerak bibir,” jelasnya.
Dia percaya masalah ini bukan kerana masyarakat tidak peduli, tetapi kerana kurang pendedahan.
“Kadang-kadang bukan sebab orang jahat, tapi sebab mereka tak tahu. Kes macam saya ni menunjukkan jurang besar dalam kefahaman tentang komunikasi dengan OKU pendengaran,” katanya.
Namun Farid tetap optimis.
“Sekarang makin ramai kongsi cerita, dan ada institusi mula ambil langkah kecil — macam guna teks, visual atau latihan asas bahasa isyarat. Saya harap lebih banyak tempat faham konsep ‘empati praktikal’ — bukan simpati semata-mata, tapi tahu cara sebenar nak bantu komunikasi,” ujarnya.
Harapan untuk masa depan
Farid berharap agar pendidikan asas bahasa isyarat diperkenalkan di sekolah, masjid dan tempat kerja.
Menurut Farid, masjid juga boleh lebih mesra OKU pendengaran — contohnya paparkan teks khutbah atau visual ringkas. Dia menambah, kempen kesedaran seharusnya menekankan empati yang praktikal.
“Kalau institusi agama, sekolah dan tempat kerja sama-sama ambil langkah kecil ini, Malaysia boleh jadi lebih inklusif dan tenang untuk semua,” katanya lagi.
Selepas insiden di masjid tular di media sosial, Farid berkata dia tidak menyimpan dendam terhadap sesiapa.
Sebaliknya berharap ia menjadi pengajaran untuk semua.
“Belajarlah untuk faham sebelum menilai. Dalam Islam, kita diajar bersangka baik dan berhikmah. Kadang-kadang kita nampak orang tak jawab salam, tapi mungkin dia ada kekangan seperti pekak atau autisme,” katanya.
Semasa ditanya adakah mana-mana pihak yang menghubunginya selepas insiden itu, Farid berkata dia tidak mengharapkan perhatian besar daripada mana-mana pihak selepas kisahnya tular.
“Tiada organisasi atau pihak berkuasa hubungi saya, tapi saya pun tak harapkan. Saya cuma nak orang lebih peka dan faham situasi OKU pendengaran,” katanya.
Farid turut menitipkan harapan agar media memainkan peranan membina persepsi yang positif terhadap komuniti OKU.
“Saya harap media ketengahkan kisah OKU dengan cara bermaruah, bukan simpati.
Kadang liputan terlalu fokus pada kesusahan, sampai orang lupa kami juga ada kemampuan, cita-cita dan maruah,” katanya.






