KUALA LUMPUR: Pelakon, Umie Aida, menasihatkan para pengikutnya mengenai kepentingan berhati-hati dalam berkongsi perancangan perniagaan dan kebahagiaan peribadi terutama dalam dunia yang serba pantas dan mudah tersebar maklumat hari ini.
Menurut Umie, pelajaran dan pengajaran boleh diperoleh apabila seseorang ingin memulakan sesuatu, lebih-lebih lagi dalam urusan perniagaan.
Umie berkata, berkongsi perancangan dengan sesiapa sahaja, termasuk rakan-rakan yang dianggap sealiran dalam bidang yang sama sebenarnya boleh mendatangkan risiko.
“Disitulah akan muncul putik-putik cemburu, dan apabila cemburu itu wujud, mereka mungkin mula melakukan sesuatu di luar jangkaan kita.
“Oleh itu, kita perlu sentiasa berhati-hati dan bijak dalam menguruskan maklumat peribadi serta perancangan masa depan,”katanya.
Katanya lagi, kadangkala, wujud perasaan tidak puas hati dalam diri seseorang walaupun diri menganggap mereka sebagai sahabat baik.
“Nama pun kawan, tetapi apabila berlaku perkara seperti itu, ia tetap menyakitkan hati. Saya sendiri turut kecewa apabila mendengar perkara sebegini.
“Namun, rezeki Allah yang tentukan segala-galanya. Yang penting, kita perlu kekal positif, tabah menghadapi dugaan, dan belajar daripada kesilapan supaya ia tidak berulang pada masa akan datang,” ujarnya.
Selain itu, Umie menegaskan bahawa nasihat ini bukan sahaja berkaitan dengan kebahagiaan, tetapi juga meliputi aspek ekonomi, kekayaan dan kejayaan.
“Jangan sesekali berkongsi perkara-perkara penting, walaupun dengan orang yang dianggap sahabat, kerana hakikatnya tidak semua mempunyai niat baik,”katanya.
Pandangan Umie tersebut turut mendapat respons pelbagai daripada pengikutnya di ruangan komen di Instagram.