IPOH: Pelantikan sebagai penjawat awam tetap untuk jawatan jururawat merupakan antara daya penarik yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menarik minat ramai sekali gus mengatasi kekurangan jururawat dalam negara
KKM telah mendapat kelulusan untuk melaksanakan langkah tersebut melibatkan graduan yang baru menamatkan kursus jururawat selain mereka yang akan menghabiskan tempoh lantikan kontrak masing-masing.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu adalah antara kelainan yang diperkenalkan dalam usaha negara mengatasi 14,000 kekosongan jawatan jururawat setakat 31 Ogos lalu.
“Kalau sebelum ini ialah lantikan secara kontrak interim. Sekarang ialah lantikan tetap bagi graduan kejururawatan. Itu adalah satu daripada komitmen kami.
“Tiada lagi yang kontrak. Semua lantikan baharu adalah lantikan tetap. Yang lain juga kita buat lantikan tetap (yang telah habiskan tempoh kontrak). Sudah selesai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Istiadat Konvokesyen 2025 Institut Latihan KKM (ILKKM) Zon Semenanjung Sidang 1 di sini hari ini.
Sebelum ini didedahkan tentang kekosongan ribuan jawatan jururawat di fasiliti kesihatan awam seluruh negara dan antara punca kekurangan dikatakan akibat moratorium penutupan kolej kejururawatan swasta sejak 2010 hingga 2024 serta penggunaan 13 daripada 19 ILKKM sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah semasa tempoh pandemik COVID-19.
Dzulkefly berkata, pelbagai langkah sedang dilaksanakan pada masa ini termasuklah pengambilan jururawat pelatih yang telah ditingkatkan daripada 1,000 kepada 3,000 orang setahun.
Pihaknya menjangkakan ILKKM akan melahirkan seramai 18,000 jururawat tambahan menjelang tahun 2030 dan sekiranya sasaran itu tercapai, Malaysia dapat mengurangkan jurang keperluan tenaga kerja kesihatan serta menghampiri piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Berkenaan varian baharu COVID-19, XFG, Menteri itu berkata situasi semasa tidak begitu dibimbangkan kerana virus Covid-19 menghampiri peringkat endemik dan kadangkala akan berlaku penularan wabak.
Beliau bagaimanapun berkata, pemantauan akan sentiasa dilakukan oleh KKM. – UTUSAN