Hari ini, Kuala Lumpur menjadi medan penting bagi permulaan terbukanya pintu rundingan damai antara Thailand dan Kemboja, dua negara anggota Asean yang sekian lama terperangkap dalam ketegangan sempadan yang berlarutan sehingga mencetuskan konflik senjata yang sedang berlaku ketika ini. Sebagai tuan rumah dan menjadi orang tengah, Malaysia boleh tampil dengan satu pendekatan unik berteraskan nilai rahmah.
Dalam kerangka diplomatik serantau yang semakin mencabar, pendekatan rahmah bukan sekadar slogan tetapi suatu formula mediasi yang berakar dalam budaya timur dengan mengutamakan Ihsan, belas kasihan, keadilan dan hidup bersama. Ia mencerminkan satu bentuk diplomasi berhati nurani yang menyatukan nilai moral dengan strategi penuh diplomasi.
Rahmah: Formula diplomasi dalam mediasi konflik Thailand-Kemboja
R – Rasa hormat dan empati
Malaysia harus menegaskan bahawa setiap rundingan mestilah diasaskan kepada rasa hormat terhadap kedaulatan, sejarah dan budaya setiap negara. Dalam menangani isu Thailand-Kemboja, Malaysia boleh mengaplikasikan empati diplomatik dengan memahami dimensi sejarah, sensitiviti budaya dan kebimbangan keselamatan yang mendalam. Ini membina asas komunikasi yang lebih bersifat insani dan bukan sekadar teknikal.
A – Adil dan berkecuali
Sebagai mediator, Malaysia perlu mengekalkan kedudukan berkecuali sepenuhnya meskipun mempunyai hubungan erat dengan kedua-dua negara. Cadangan disampaikan berdasarkan prinsip keadilan dan fakta yang objektif, bukannya hubungan geopolitik atau tekanan luar. Malaysia sedar bahawa kredibilitinya sebagai broker damai terletak pada persepsi ketelusan dan kesaksamaan.
H – Hikmah dan fleksibiliti
Diplomasi bukan soal siapa menang atau kalah tetapi mencari jalan tengah yang bijaksana. Dalam soal ini Malaysia sebagai contoh, boleh menawarkan cadangan kreatif seperti zon kerjasama bersama atau pembangunan rentas sempadan atau pun perkongsian silang seni dan budaya. Ini memerlukan hikmah dalam membaca dinamik rundingan dan fleksibiliti untuk mengubah strategi tanpa menjejaskan prinsip.
M – Musyawarah dan dialog
Kita sangat yakin bahawa hanya melalui musyawarah yang ikhlas dan terbuka, penyelesaian yang mampan boleh dicapai. Peranan mediator dioptimumkan untuk membuka ruang perbincangan langsung antara delegasi serta membina kepercayaan yang bersifat peribadi antara pemimpin dan diplomat kedua-dua negara.
A – Amanah dan integriti
Malaysia wajib menegaskan kepentingan integriti dalam setiap aspek rundingan daripada kerahsiaan maklumat sehingga ke konsistensi dalam pendirian. Amanah ini menjadi asas kepada kesediaan Thailand dan Kemboja untuk melibatkan diri dalam proses yang Malaysia kendalikan.
H – Harmoni dan hidup bersama
Matlamat akhir dalam rundingan ini bukan sekadar menghentikan konflik tetapi membina asas jangka panjang bagi keamanan, kestabilan dan kerjasama dua hala. Malaysia perlu menawarkan visi Asean yang lebih besar: integrasi ekonomi, pembangunan rentas sempadan dan pembinaan semula hubungan rakyat demi rakyat.
Kuasa lembut yang menyatu
Sebagai pengerusi Asean penggal ini, Malaysia membawa mandat bukan sahaja untuk memudah cara, tetapi juga untuk memimpin. Peranan ini memungkinkan Malaysia menggunakan seluruh infrastruktur diplomatik Asean termasuk Sekretariat Asean, menggunakan mekanisme Asean Political-Security Community (APSC) dan pengalaman masa lalu dalam konflik serantau untuk menyokong proses ini.
Melalui pendekatan kebijaksanaan multilateralisme, Malaysia berupaya menyelaraskan sokongan negara anggota lain sekaligus memperkukuh solidariti serantau. Ia juga menonjolkan kematangan Asean sebagai entiti yang mampu menyelesaikan pertikaian dalaman secara aman tanpa campur tangan kuasa luar.
Diplomasi yang menyentuh hati, demi masa depan bersama
Konflik sempadan bukan sekadar pertikaian wilayah, ia menyentuh maruah, keselamatan dan warisan sebuah negara. Namun di sebalik kejituan fakta dan sejarah pasti ada ruang untuk harapan dan damai jika wujud keberanian untuk mendengar dan keikhlasan untuk memahami.
Malaysia dengan pendekatan rahmah, membawa wajah diplomasi yang tidak bersifat konfrontasi tetapi penuh ihsan, kasih sayang, hikmah dan keberanian moral. Di tengah dunia yang semakin polar dan berkecamuk inilah diplomasi yang diperlukan; bukan untuk menunjukkan kuasa tetapi untuk menyembuh luka, melerai air mata dan akhirnya menjambatani permusuhan.
Sekiranya pertemuan berjaya, ia bukan sahaja kemenangan buat Thailand dan Kemboja tetapi juga satu pencapaian bersejarah bagi Asean yang membuktikan bahawa negara-negara Asean mampu menjaga rumahnya sendiri dengan akal, adab dan amanah kerana kita adalah satu keluarga besar Asean!
ZULKIFLI MOHAMED ialah CEO Yayasan Rahmah Malaysia.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.