Malaysia Oversight

Dilarang jumpa keluarga, dikurung antara penderaan diterima selebriti ini

By Utusan in August 17, 2025 – Reading time 2 minute
Dilarang jumpa keluarga, dikurung antara penderaan diterima selebriti ini


SEKITAR awal tahun lalu kecoh di media sosial gambar dan video terkini selebriti popular , Zhou Lusi yang tidak boleh bergerak, lemah di atas kerusi roda semasa mendapatkan rawatan.

Malah menurut sahabat baiknya, Wei Xiao, ketika itu Zhou juga mengalami gangguan neurologi menyebabkannya mengalami kesukaran untuk bertutur.

Khabar angin mula tersebar bahawa Zhou dipaksa bekerja oleh pihak agensi tanpa diberikan cuti walaupun dirinya tidak sihat. Malah pelakon itu dikatakan mengalami depresi dan tekanan yang melampau.

Namun begitu, tiada siapa yang boleh mengesahkan perkara yang menimpa pelakon dengan jumlah pengikut lebih 30 juta di media sosial itu.

Selepas sebulan mengalami lumpuh dan mula bercakap perlahan-lahan. Zhou dilepaskan daripada menerima rawatan dan kembali bertemu keluarga dan disarankan melakukan aktiviti sepert berjalan, mewarna, melukis dan melancong.

Tidak ada angin dan ribut, pada bulan Ogos, tiba-tiba Zhou mende­dahkan apa yang dilaluinya sepan­jang bergelar selebriti menerusi sebuah sesi siaran langsung mene­rusi Weibo.

Dalam sesi itu, Zhou men­dak­wa agensi bakatnya, Galaxy Cool Entertainment telah melakukan penderaan lisan dan fizikal kepadanya. Malah, dia mendakwa syarikatnya itu mengeluarkan 2.05 juta yuan iaitu sekitar RM1.3 juta daripada akaun studio peribadinya tanpa izin.

Malah, dia juga mendakwa pihak syarikat mengurungnya, melarangnya berjumpa atuk yang sedang tenat dan bapanya yang menghidap kanser kerana perlu melunaskan penggambaran drama terbaharu. Menurut Zhou, kali pertama dia bertemu bapanya adalah semasa di majlis pengebumian atuknya.

Tidak hanya Zhou Lusi beberapa selebriti sebelum ini juga dikatakan pernah berhadapan situasi menjadi mangsa buli oleh syarikat pengurusan mereka sendiri.

Cai Xukun

Kes ini agak besar pada 2017 apabila ahli pasukan SWIN, Cai Xukun memfailkan tuntutan saman terhadap syarikat yang didakwa memaksanya menanggung hutang yang sepatutnya dilakukan syarikat. Dia juga menuduh syarikat mengeksploitasi bakat penyanyi muda kerana tidak membayar royalti sepatutnya. Kes ini berlarutan selama dua tahun dan Cai akhirnya memenangi tuntutan itu.

Yamy (Guo Ying)

Sebagai anggota grup Rocket Girls 101 dan rapper, Yamy pernah memuat naik sebuah kenyataan yang sangat kontroversi menceritakan apa yang dialaminya sepanjang menjadi ahli grup berkenaan.

Dia mendakwa bosnya, Xu Mingchao selalu menghinanya mengatakan dia yang berusia 28 tahun sebagai tua dan hodoh.

Lebih mengejutkan, Yamy mempunyai video ketika Xu Mingchao menghinanya di dalam sebuah perjumpaan.

Lantaran itu, Yamy bertindak menyebarkan video itu di media sosial dan menjadi tular di Weibo. Syarikat itu kemudian menamatkan kontrak Yamy dan membayar pampasan untuk keadaan mentalnya yang terganggu.

 





Source link