Pertubuhan masyarakat Save Rivers mengkritik pihak berkuasa Sarawak kerana menggambarkan mereka sebagai sebuah syarikat berorientasikan keuntungan yang menyamar sebagai NGO, dalam semakan kehakiman yang sedang berjalan berhubung pemberian lesen pembalakan di Baram, Miri.
Kumpulan itu menyifatkan kenyataan Jabatan Hutan Sarawak (FDS) sebagai “salah tafsiran menjijikkan” dan menggesa agensi kerajaan itu supaya menghormati proses kehakiman, bukannya mencemar nama baik rakan komuniti melalui maklumat yang mengelirukan.
“Amat membimbangkan apabila FDS memilih untuk menyerang Save Rivers, sedangkan kami bukan pihak dalam semakan kehakiman itu, hanya mengemukakan afidavit menyokong permohonan masyarakat Penan. Kenyataan seperti ini, dibuat ketika perkara masih dibicarakan di mahkamah, berisiko menjejaskan proses keadilan dan boleh dianggap sebagai sub judice.
“Daripada memesongkan perhatian awam, jabatan itu sepatutnya terlibat secara konstruktif dengan komuniti Orang Asal dan menghormati hak perlembagaan mereka untuk mencari keadilan melalui mahkamah,” katanya.

Semalam, portal Dayak Daily melaporkan Mahkamah Tinggi Miri mendengar semakan kehakiman difailkan beberapa individu terhadap Jabatan Hutan Sarawak (FDS), Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, serta kerajaan negeri Sarawak.
Menurut laporan itu, pihak responden berhujah semakan kehakiman berkenaan dikaitkan dengan Save Rivers Sdn Bhd selaku deponen, yang digambarkan sebagai “sebuah syarikat sendirian berhad dengan motif keuntungan yang mengaku diri sebagai NGO.”
Responden turut menggesa NGO dan aktivis asing supaya menghentikan bantahan terhadap pembangunan di Ulu Baram, dengan mendakwa komuniti Penan sudah menyatakan sokongan kepada projek-projek tersebut. Mereka juga mendakwa lesen pembalakan dikeluarkan “untuk memenuhi keperluan mendesak komuniti” dan bahawa permintaan projek pembangunan datang terus daripada penduduk tempatan.
Save Rivers menolak dakwaan itu dengan hujah pemberian lesen pembalakan di kawasan yang sudah ditebang berlebihan tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian bagi keperluan infrastruktur luar bandar.

“Selepas 62 tahun Malaysia dibentuk, adalah tidak boleh diterima bahawa komuniti Orang Asal luar bandar masih terpaksa bergantung kepada kemusnahan hutan mereka oleh syarikat pembalakan sebagai pertukaran untuk infrastruktur asas.
“Pembangunan sejati tidak seharusnya mengorbankan hak Orang Asal atau memusnahkan alam sekitar,” katanya.
Semakan kehakiman terhadap pemberian lesen pembalakan selepas penamatan Projek Kawasan Hutan Ulu Baram (UBFA) tahun lalu — yang melibatkan Save Rivers dan rakan antarabangsa mereka — akan diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Dean Wayne Daly pada 30 Okt 2025.
Kumpulan itu menegaskan mereka akan terus berdiri teguh bersama komuniti Orang Asal dan masyarakat tempatan di Sarawak bagi mempertahankan hak mereka serta melindungi hutan.
“Sejak penubuhannya, Save Rivers telah bekerja secara langsung dengan komuniti Orang Asal dan masyarakat tempatan di seluruh Sarawak untuk mempertahankan hak mereka, melindungi hutan, dan mempromosikan mata pencarian mampan.
“Organisasi ini didaftarkan sebagai syarikat sendirian berhad dan bentuk perundangan ini tidak mengubah sifat atau tujuan kami: kami adalah entiti tidak berorientasikan keuntungan yang didedikasikan untuk khidmat komuniti, bukan untuk menjana keuntungan,” katanya.