Malaysia Oversight

Diet salah punca kanak-kanak obes, diabetes

By MkiniBM in September 23, 2025 – Reading time 3 minute
malaysiakini logo


Kes seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang disahkan menghidap diabetes selepas kerap diberi nuget dan sosej setiap hari mencetuskan kebimbangan mengenai tabiat pemakanan generasi muda.

Seorang pengguna media sosial Threads mendakwa amalan pemakanan budak terbabit yang hanya diberikan makan hot dog dan nuget menyumbang kepada masalah kesihatannya.

Tiga pakar yang dihubungi Malaysiakini sependapat bahawa ibu bapa memainkan peranan utama dalam membentuk tabiat pemakanan anak-anak.

Kata mereka, pemakanan sihat bukan sekadar tentang mengenyangkan perut seseorang, tetapi asas pembentukan kesihatan sepanjang hayat.

Mengulas perkara itu, Pengarah Pusat Rawatan Dietetic & Nutrisi Shinzen Nutricatalyst, Lai Ji Chin, berkata pengambilan berlebihan makanan diproses seperti nuget dan sosej memang boleh menyebabkan seseorang berdepan pelbagai risiko kesihatan.

Antaranya, kata pakar dietetik itu, kegemukan, kekurangan nutrisi, dan masalah kronik jangka panjang.

5ebd2b7982ddbb2dcfbe1008cef320dc
Lai Ji Chin

Menurut Lai, nuget mengandungi kanji tambahan, lapisan tepung dan salutan gorengan yang menjejaskan kawalan gula dalam darah.

Pengambilan bahan itu secara berulang, katanya, boleh membawa kepada peningkatan berat badan berlebihan dan rintangan insulin, iaitu faktor utama bagi diabetes Jenis 2.

“Makanan sebegitu selalunya rendah serat, vitamin dan mineral, sebaliknya tinggi dengan garam, kanji dan bahan tambahan.

“Jika diambil kerap, ia boleh menjejaskan tumbesaran, menambah berat badan secara berlebihan, dan meningkatkan risiko obesiti serta diabetes awal,” katanya.

Kanak-kanak juga terdedak risiko

Lai turut mengingatkan ibu bapa supaya lebih peka terhadap tanda awal kesan pemakanan tidak sihat seperti peningkatan berat badan mendadak, cerewet memilih makanan, mudah letih, serta kerap sakit.

Sebagai alternatif, dia menyarankan ibu bapa menyediakan makanan ringkas tetapi berkhasiat seperti nasi yang dimasak bersama sayur-sayuran dan ikan dalam periuk elektrik, kentang lenyek dengan susu dan kismis, atau telur stim bersama jagung dan buah-buahan.

Dr Nor Baizura Md Yusop dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) pula menjelaskan aspek pemakanan memainkan peranan besar dalam diabetes Jenis 2 – penyakit yang kini semakin kerap dikesan dalam kalangan kanak-kanak akibat obesiti.

Menurutnya, makanan segera dan diproses yang tinggi kalori, gula, dan lemak tidak sihat menyebabkan sel tubuh tidak lagi bertindak balas dengan baik terhadap insulin, sekali gus meningkatkan risiko diabetes.

“Dulu diabetes Jenis 2 dilihat hampir eksklusif dalam kalangan orang dewasa, tapi kini kanak-kanak juga terdedah kerana faktor diet tidak sihat, kurang aktiviti fizikal, serta pertambahan berat badan mendadak,” katanya.

0b595024f4e6960e4c3ba2e602154866

Dia yang mempunyai kepakaran dalam bidang pemakanan klinikal dan kanak-kanak menegaskan, rawatan awal serta perubahan gaya hidup mampu mencegah komplikasi jangka panjang seperti penyakit jantung, masalah sendi, dan isu kesihatan mental.

Garis Panduan Amalan Klinikal (CPG) 2023, katanya, turut menekankan pendekatan keluarga dalam menangani obesiti kanak-kanak – merangkumi pemakanan seimbang, aktiviti fizikal mencukupi, tidur berkualiti, serta sokongan emosi.

Sementara itu pakar dietetik berdaftar dan penyelidik pascasiswazah dalam pemakanan kesihatan awam, Nabila Basuki, berkata makanan ultraproses yang tinggi lemak tepu, gula, natrium dan rendah serat bukan sahaja meningkatkan risiko obesiti, malah boleh menggantikan makanan kaya nutrien yang penting untuk perkembangan kanak-kanak.

f8b58b0778e738b6079565bf8a6d2ddc
Nabila Basuki

“Diet sebegitu memberi beban glisemik tinggi, mencetuskan lonjakan gula darah dan insulin berulang kali.

“Jika dibiarkan berterusan, ia membawa kepada pengumpulan lemak viseral serta keradangan metabolik iaitu faktor utama yang mempercepatkan diabetes Jenis 2 awal,” jelasnya.

Nabila turut menasihatkan ibu bapa agar memantau tanda-tanda seperti obesiti di bahagian perut, kerap letih, cepat haus, kerap kencing, serta enggan makan makanan sihat.

Dia juga mengesyorkan diet seimbang untuk kanak-kanak berusia antara dua hingga lima tahun yang menekankan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh, protein tanpa lemak, produk tenusu, lemak sihat, serta air kosong sebagai minuman utama.

Bagi menggantikan makanan segera, katanya, ibu bapa boleh mencuba nuget buatan sendiri dengan isi ayam atau ikan segar, menyediakan bebola daging dan sayuran untuk disimpan beku, atau snek ringkas seperti buah hiris, telur rebus dan yogurt.



Source link