Malaysia Oversight

Diancam saman kerana petik 3 biji kelapa, PSM tawar guaman percuma

By MkiniBM in August 3, 2025 – Reading time 2 minute
Diancam saman kerana petik 3 biji kelapa, PSM tawar guaman percuma


Parti Sosialis Malaysia (PSM) menawarkan bantuan guaman percuma kepada pekerja pembersihan warga asing yang diancam tindakan undang-undang kerana memetik tiga biji kelapa.

Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan, berkata demikian kepada Malaysiakini susulan tular sebuah video menunjukkan seorang wanita — yang mendakwa dirinya peguam — memarahi para pekerja tersebut.

Dalam video berkenaan, wanita itu menggelar pekerja asing berkenaan sebagai “bodoh” dan “bloody fool”, selain mengugut untuk menyaman mereka atas kesalahan mencuri serta menuntut bayaran RM5 bagi setiap biji kelapa.

“Tiga kelapa awak ambil. Kasi saya duit. Tiga kelapa RM15.

“Bagi saya duit, Saya tak kasi awak keluar… bloody fool!” bentaknya dalam rakaman itu.

Menyuarakan kekecewaan, Arutchelvan berkata insiden tersebut menunjukkan “kurangnya empati dan adab asas kemanusiaan” yang membimbangkan.

“Sama ada mereka bayar RM15 itu atau tidak bukanlah isu utama. Yang lebih penting ialah tingkah laku yang menjijikkan, apatah lagi datang daripada seseorang yang mendakwa dirinya sebagai profesional perundangan.

“‘Peguam’ ini jelas gagal memahami satu hakikat mudah: kerja dia — yang boleh dilakukan orang lain — langsung tidak setanding dengan pekerjaan berat, kotor, berbahaya dan sukar (3D) yang dilakukan oleh para pekerja migran ini; kerja yang sering dielak rakyat tempatan kerana stigma sosial,” tambahnya.

Dia turut berkongsi pengalaman dalam satu sesi meja bulat anjuran Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) baru-baru ini bertajuk “Membina Masyarakat Penyayang”, yang menekankan kepentingan menyemai nilai empati, maruah dan rasa hormat dalam sistem pendidikan.

“Saya tekankan satu perkara penting: kanak-kanak mesti diajar — dan orang dewasa perlu diingatkan — untuk melayan semua pekerja dengan bermaruah. Pemungut sampah dan semua yang melakukan kerja yang sering dipandang rendah ini patut dipanggil ‘encik’ atau ‘pakcik’, bukannya dilayan seperti bukan manusia,” ujarnya.

Arutchelvan menganggap insiden kelapa itu sebagai tamparan kepada hati nurani rakyat, dan berharap ia menjadi pengajaran agar masyarakat lebih berempati.

“Sebuah masyarakat yang mengeksploitasi dan mengaibkan pekerja paling terpinggir adalah masyarakat yang kehilangan moral — lebih parah lagi apabila kekejaman itu datang daripada mereka yang kononnya memperjuangkan keadilan,” katanya.

Sikap angkuh

Dalam satu hantaran di Facebook, bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim turut mengkritik insiden tersebut, dengan menegaskan bahawa seorang peguam bukan sekadar pengamal undang-undang, tetapi juga penjaga keadilan, kesaksamaan dan empati.

cbef37e460dc6e59b0614fbb801730ab

“Ya, mungkin pekerja itu bersalah kerana mengambil sesuatu yang bukan milik mereka. Tetapi reaksi peguam wanita itu — menjerit, memaki hamun, dan menggunakan gelaran profesionalnya seperti senjata — bukan sahaja tidak sepadan, malah menunjukkan sikap angkuh kelas atasan dan rasa moral diri yang lebih tinggi.

“Mengisytiharkan ‘Saya seorang peguam’ seolah-olah itu memberinya hak untuk menakut-nakutkan orang lain adalah contoh keangkuhan yang boleh menghakis kepercayaan orang ramai terhadap profesion guaman,” tambahnya.



Source link