Semalam kami telah melaporkan bahawa peranti pintar keluaran Google yang terbaru, iaitu Google Pixel 10 yang terdiri daripada empat peranti, termasuklah Google Pixel 10, Google Pixel 10 Pro, Google Pixel 10 Pro XL dan Google Pixel 10 Pro Fold akan memasuki pasaran Malaysia dalam masa terdekat ini, dan pra-tempahan untuk kebanyakan daripada peranti-peranti ini juga telahpun bermula.

Untuk pencarian termudah, Google Store Malaysia telah menyenaraikan syarikat-syarikat telekomunikasi dan juga kedai-kedai peranti elektronik dimana anda boleh pra-tempah siri peranti tersebut. Ia termasuklah CelcomDigi, Maxis, SenHeng, Urban Republic, Thundermatch dan juga kedai atas-talian Google Store Malaysia di Shopee dan Lazada.


Kesemua jenama telekomunikasi dan pekedai elektronik ini memperlihatkan penawaran peranti-peranti Google Pixel 10, Google Pixel 10 Pro dan Google Pixel 10 Pro XL di kedai-kedai mereka. Untuk CelcomDigi dan Maxis, anda boleh menggunakan pelan peranti masing-masing (Easy360 untuk CelcomDigi, Zerolution untuk Maxis) untuk membayar peranti-peranti ini secara ansuran bulanan 24 bulan ataupun 36 bulan.

Kedua-dua syarikat telekomunikasi ini juga menawarkan pakej pra-tempahan yang cukup menarik, seperti langganan percuma storan awanan Google One 2TB enam bulan, langganan FitBit Premium 6 bulan dan langganan YouTube Premium 3 bulan secara percuma.
Kami diberitahu bahawa pihak U Mobile tidak akan membuka pra-tempahan untuk siri peranti ini, tetapi mereka masih akan memperlihatkan penawaran tersendiri apabila ia mula dijual secara rasmi pada 28 Ogos ini.

Jika anda tidak mahu terikat dengan kontrak langganan syarikat telekomunikasi, anda juga boleh mula pra-tempah siri peranti Google Pixel 10 secara terus melalui SenHeng, Urban Republic, Thundermatch dan Google Store Malaysia sendiri.

Kesemua gedung atas talian ini menawarkan pembayaran secara penuh, dengan deposit ataupun secara ansuran melalui pelbagai platform seperti ShopeePay Later, Atome dan kad kredit. Sama seperti syarikat-syarikat telekomunikasi, peranti-peranti ini juga akan dihantar terus kepada pelanggan pada 28 Ogos 2025.

Google Malaysia juga sekali lagi telah mengesahkan bahawa Google Pixel 10 Pro Fold akan memasuki pasaran Malaysia, dan untuk peranti tersebut, ia akan mula dijual sekitar bulan Oktober ini. Dalam pada itu, jam tangan pintar Pixel Watch 4 juga akan mula dijual pada bulan Oktober ini melalui pengedar-pengedar yang sama juga.