PARLIMEN | Dewan Rakyat telah meluluskan pindaan terhadap Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 untuk melaksanakan larangan menyeluruh terhadap senjata nuklear, dengan pelanggaran boleh dikenakan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun.
Ketika perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perlesenan Tenaga Atom (Pindaan) 2025 hari ini, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mencadangkan satu seksyen baru – Seksyen 25H – berhubung larangan senjata nuklear.
Di bawah peruntukan tambahan ini, tiada pihak yang boleh membangun, menguji, menghasilkan, mengeluarkan, memperoleh, memiliki atau menyimpan senjata nuklear atau alat letupan nuklear yang lain.
Selain pemindahan senjata atau alat letupan nuklear, penggunaan atau ancaman untuk menggunakan bahan tersebut dianggap sebagai jenayah melalui pindaan ini.
Penempatan, pemasangan, atau pengaturan kedudukan bagi tujuan pelancaran senjata nuklear – atau membantu, menggalakkan, atau menghasut aktiviti sedemikian – turut dianggap sebagai kesalahan yang boleh dihukum.
Hukuman mati
Individu yang melanggar peruntukan ini boleh dihukum mati atau dipenjara selama 30 hingga 40 tahun.
Syarikat pula boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM30 juta sekiranya didapati bersalah melanggar peruntukan tersebut.
Satu klausa berasingan dalam RUU pindaan itu menyatakan hukuman di bawah Seksyen 25H akan terpakai terhadap kesalahan yang dilakukan di atas kapal atau pesawat yang didaftarkan di Malaysia oleh rakyat atau mereka yang berstatus penduduk tetap.

Undang-undang ini juga boleh dikenakan ke atas mana-mana individu “terhadap warganegara Malaysia”, serta mana-mana individu yang berada di Malaysia selepas kesalahan dilakukan.
Mana-mana individu yang melakukan kesalahan terhadap harta milik kerajaan persekutuan atau negeri, atau yang dikendalikan sepenuhnya atau sebahagiannya oleh kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri, juga tertakluk kepada hukuman tersebut.
Ini termasuk premis diplomatik atau konsular Malaysia, serta mana-mana syarikat yang diwujudkan oleh atau di bawah undang-undang negara, namun terletak di luar Malaysia.
Menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, larangan yang diperincikan dalam RUU ini bertujuan memastikan kejelasan undang-undang sambil menegaskan bahawa penggunaan tenaga atom di Malaysia adalah untuk tujuan aman semata-mata, bukannya persenjataan.
Kementerian itu menegaskan bahawa di bawah akta sedia ada, tiada peruntukan khusus yang melarang senjata nuklear.
“Namun, pemilikan mana-mana bahan atau peralatan nuklear – termasuk senjata dan bahan letupan berasaskan nuklear – kekal dilarang dan tertakluk kepada kawalan di bawah akta tersebut,” kata seorang wakil kementerian kepada Malaysiakini.
Malaysia telah menandatangani dan meratifikasi Perjanjian Larangan Senjata Nuklear yang berkuat kuasa pada 22 Jan 2021.
Tenaga nuklear dipertimbang
Dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bulan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang mempertimbang penggunaan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga bersih dan selamat.
RMK13 juga menyatakan program pembangunan tenaga nuklear akan dilaksanakan dan dijangka beroperasi menjelang 2031.
MyPower Corporation dijangka menjadi organisasi pelaksana yang akan menguruskan program tersebut selaras dengan peraturan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof sebelum ini turut mengesahkan yang kerajaan sedang mengkaji kemungkinan melaksanakan projek tenaga nuklear di Semenanjung Malaysia dan Sabah berikutan permintaan tinggi terhadap tenaga yang stabil.
Laporan oleh Qistina Nadia Dzulqarnain, Hariz Mohd, N Faizal Ghazali