Malaysia Oversight

Dewan Rakyat kecoh lepas peristiwa 13 Mei dibangkit ketika bahas RMK13

By MkiniBM in August 4, 2025 – Reading time 2 minute
Dewan Rakyat kecoh lepas peristiwa 13 Mei dibangkit ketika bahas RMK13


PARLIMEN | Dewan Rakyat hari ini kecoh selepas Awang Hashim (PN-Pendang) memberi peringatan kepada mengenai rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Ini selepas dia mendakwa tiada pelan spesifik buat bumiputera dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Ketika menyentuh rancangan khusus kepada Kampung Baru Cina dalam RMK13, Awang bertanya kenapa tiada sebarang pelan spesifik kepada kaum bumiputera.

“Kita setuju pembiayaan kepada Kampung Baru Cina tak ada masalah. Tapi, dalam RMK13 ini secara jelasnya tiada satu spesifik pembangunan untuk bumiputera yang mana bila kita melihat semula peristiwa 13 Mei itu salah satu elemen adalah tekanan ekonomi kepada kaum bumiputera.

“Maka, wujudlah RMK1 hingga RMK13 sekarang untuk imbang balik pendapatan, dan juga ekonomi antara kaum ini. RMK13 tak ada spesifik kepada kaum bumiputera.

“Adakah nak balik kepada peristiwa 13 Mei ini?” soal Awang ketika mencelah ucapan perbahasan ketua pembangkang Hamzah Zainudin.

Bagaimanapun, RSN Rayer (PH-Jelutong) tidak puas hati dan meminta timbalan speaker Alicia Lau mengarahkan Awang tarik balik kenyataannya.

“Saya minta Perintah Tetap 36 (9) (c), yang menyatakan perkataan-perkataan yang harus menaikkan perasaan bersakit hati atau bermusuh-musuhan di antara satu kaum dengan kaum lain dalam malaysia atau melanggar mana-mana syarat dalam perlembagaan atau akta hasutan.

“Saya dengar tadi, Pendang berbahas mengatakan bahawa RMK13 ini seolah-olah berat sebelah, tak beri keutamaan kepada bumiputera. Memberi keutamaan kepada kaum Cina dan keluarkan kenyataan yang menyakiti hati.

“Dia berkata peristiwa 13 Mei berulang. Saya minta beliau tarik balik,” kata Rayer.

Bagaimanapun, Awang mendakwa tuduhan Rayer itu adalah fitnah.

“Fitnah ini, tak sebut apa yang saya kata, sebab itu orang DAP pun tak terima kamu, kalah CEC (pemilihan pusat parti DAP),” kata Awang merujuk kepada Rayer.

Rayer membalas: “Pendang memang kata peristiwa 13 Mei boleh berulang. Saya minta timbalan speaker buat ‘ruling’ (ketetapan).”

Alicia kemudian meminta kedua-dua ahli parlimen untuk duduk dan berkata menteri akan menjawab soalan Awang.

Rayer yang tak berpuas hati sekali lagi meminta timbalan speaker membuat ketetapan agar perkara sebegini tidak berulang.

Dia turut mengecam Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang minta Rayer tidak ganggu perbahasan RMK13.

Namun, Alicia mencadangkan Rayer boleh membuat usul dan seterusnya meminta Hamzah meneruskan perbahasan.

*Laporan oleh Alyaa Alhadjri, Zarrah Morden, B Nantha Kumar



Source link