Desakan BN untuk menangguhkan Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang kontroversi adalah bukti ia bukan boneka DAP, kata Kelab Veteran Umno.
Dalam satu kenyataan, setiausaha kelab itu Mustapha Yaakub mendakwa kenyataan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berhubung isu itu semalam telah meyakinkan Putrajaya untuk menangguhkan RUU itu ke mesyuarat Dewan Rakyat akan datang.
“Keputusan BN yang mahu pembentangan RUU itu ditangguhkan jelas menunjukkan wakil-wakil BN/Umno bukan menjadi tunggangan DAP dan tidak berani bersuara.
“Tindakan berstrategi dan masa yang tepat oleh Mohamad sebagai timbalan pengerusi BN yang juga timbalan presiden Umno telah berjaya meyakinkan kerajaan untuk menangguhkan pembentangan itu,” katanya.
Untuk rekod, rang undang-undang itu telah pun dibentangkan untuk bacaan pertamanya di Dewan Rakyat pada 21 Ogos, dan diteruskan untuk bacaan kedua semalam.
Perbahasan dan pengundiannya, bagaimanapun, telah ditangguhkan ke mesyuarat Dewan Rakyat seterusnya pada Oktober, dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata mereka akan memperkenalkan beberapa penambahbaikan kepada cadangan itu.
Mustapha berkata pihaknya berharap Putrajaya menyemak semula peruntukan di bawah undang-undang yang dicadangkan yang telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat.
“… terutamanya kuasa menteri yang terlalu besar yang berkemungkinan berlaku pertindihan kuasa dengan kerajaan negeri yang berkuasa dalam hal tanah walaupun PBT dibawah bidang kuasa kerajaan pusat.
“Perlu diingat bahawa ‘tuan tanah’ di negeri-negeri ialah raja dan sultan,” katanya.
Dia juga menggesa agar semakan itu dilakukan secara menyeluruh supaya “tiada agenda tersirat” yang boleh dipersoalkan oleh rakyat, khususnya orang Melayu bandar.
Sementara itu, Perikatan Nasional dalam satu kenyataan berasingan menganggap penangguhan itu sebagai kejayaan bantahan yang dilakukan oleh ahli Parlimennya dan rakyat.
Ketua whipnya Takiyuddin Hassan berkata rang undang-undang itu dalam bentuk asalnya gagal memberi pertimbangan sewajarnya terhadap hak pemilik harta, khususnya masyarakat Melayu yang sudah bertahun-tahun tinggal di kawasan bandar.
“Ambang persetujuan yang rendah serta kaedah pelaksanaan yang kabur menimbulkanrisiko besar terhadap hak pemilikan, kestabilan komuniti setempat, dankesinambungan demografi bandar,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahli parlimen Kota Bharu itu menyenaraikan beberapa siri isu yang PN percaya kerajaan perlu kaji semula.
Ia termasuk untuk melindungi hak pemilik harta, pembangunan seimbang, ketelusan dan perundingan menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan, dan untuk menjamin bahawa projek pembaharuan bandar tidak akan mengubah komposisi demografi di kawasan yang terjejas.
“PN menolak sebarang dasar yangbolehmengubah wajah masyarakat bandar secara drastik sehingga menghakiskehadiran serta hak masyarakat Melayu dan Bumiputera di bandar-bandar utama,” tambah Takiyuddin.