Malaysia Oversight

‘Derma politik’ Sabah: Warisan mahu SPRM bertindak

By MkiniBM in October 8, 2025 – Reading time 2 minute
'Derma politik' Sabah: Warisan mahu SPRM bertindak


Warisan hari ini menganggap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gagal bertindak ke atas ahli politik Sabah yang terpalit dengan skandal rasuah membabitkan projek perlombongan di negeri itu.

Kenyataan itu dibuat selepas pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Joachim Gunsalam mengakui dia menerima “derma politik” daripada ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei, namun pada masa sama menegaskan bahawa ia bukan atas permintaan PBS parti berkenaan.

Naib Presiden Warisan, Terrence Siambun, berkata Joachim kini telah mengakui video tersebut sebagai tulen, justeru ia bermakna rakaman yang telah disaksikan itu dan jadi bahan bincang benar-benar wujud.

“Lebih memeritkan ialah kenyataan Joachim sendiri yang mengatakan ‘kami tidak pernah memintanya, dia memberinya dahulu’. Kenyataan seperti itu bukan alasan. Ia adalah pengakuan bahawa memang ada wang diberikan dan diterima.

“Tidak kira siapa yang menawarkan atau yang meminta, wang bertukar tangan di antara ahli perniagaan dan wakil rakyat.

“Itulah definisi asas rasuah dan salah guna kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu Malaysiakini menyiarkan laporan mengenai pengakuan Joachim tentang kewujudan rakaman video yang didakwa menunjukkan dia berbual dengan Tei.

Untuk rekod, rakaman itu belum dikeluarkan secara terbuka. Bagaimanapun, pada Jun lalu, sumber memberikan kepada Malaysiakini tangkap skrin yang didakwa diambil dari rakaman video melibatkan enam ahli politik.

Seorang daripada mereka ialah Joachim.

5217f30ebbfd6f71fb63dad5d15fc788
Joachim Gunsalam

Sumber itu mendakwa Joachim mengambil RM600,000 daripada Tei sebagai imbalan atas sokongan bidaan ahli perniagaan terbabit untuk mendapatkan lesen penerokaan perlombongan.

Bagaimanapun, Joachim – yang merupakan salah seorang timbalan ketua menteri Sabah – mendakwa rakaman berkenaan diambil di luar konteks.

Dia menegaskan bahawa kontroversi itu perlu dilihat dari perspektif yang lebih meluas iaitu cubaan Tei menguasai sektor perlombongan Sabah melalui rangkaian firma proksi.

Menurutnya lagi, sebarang sumbangan Tei merupakan sumbangan politik sukarela kepada PBS, bukannya rasuah.

Mengulas perkara itu, Terrence membangkitkan persoalan jika terdapat rekod derma seperti sepatutnya, dan adakah ia diisytiharkan kepada ahli parti dan pimpinan PBS.

“Adakah ia dilaporkan kepada pihak berkuasa seperti yang dikehendaki oleh undang-undang pembiayaan politik dan piawaian ketelusan? Atau adakah ini hanya percubaan terdesak untuk menjenamakan semula perbuatan rasuah sebagai derma?

“Berhenti berdalih, dan sudah-sudahlah menghina kecerdasan orang. Apa yang berlaku adalah rasuah – ia jelas dan mudah.

“Di mana SPRM? Berapa lama lagi kita rakyat Sabah perlu tunggu? Berapa banyak pengakuan, rakaman dan pengakuan mesti muncul sebelum tindakan diambil?” katanya.



Source link