Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok menggesa kerajaan dan polis untuk mengambil pendirian tegas dan berprinsip – yang menurutnya selaras dengan nilai Madani – untuk menegakkan keadilan kepada M Indira Gandhi dan menyatukannya semula dengan anak perempuannya, Prasana Diksa.
Menurut Kok, pendedahan terbaru bahawa bekas suami Indira, Riduan Abdullah mungkin masih berada di Malaysia menimbulkan persoalan serius berkenaan tiadanya tindakan daripada pihak berkuasa.
“Apakah tindakan yang telah dan akan diambil oleh polis dan juga Kementerian Dalam Negeri berhubung penemuan baru ini?” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Anggota Parlimen DAP itu menggesa Ketua Polis Negara Khalid Ismail untuk “menggunakan kuasanya” bagi mengesan Prasana dan mengembalikannya kepada ibunya.
“Saya percaya dengan teknologi yang canggih dan bukti-bukti baru yang menunjukkan Riduan berada di Malaysia, polis pasti akan dapat menemui lokasi persembunyian Riduan dan anaknya dalam masa terdekat.
“Indira sebelum ini pernah menyatakan dia tidak berhasrat untuk mengembalikan agama anak perempuannya kepada Hindu. Dia sedia menerima hakikat bahawa anak perempuannya kini seorang penganut agama Islam.
“Kes ini bukan soal agama atau kaum — sebaliknya, ini adalah soal kemanusiaan dan kedaulatan undang-undang,” katanya lagi.
Kok berkata, pelaksanaan keadilan secara terpilih berdasarkan kaum dan agama kan menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan negara.
“Jika keputusan mahkamah tertinggi negara pun boleh diabaikan tanpa sebarang tindakan, maka kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan negara akan terus terhakis.
“Sudah terlalu lama seorang ibu menanggung penderitaan yang tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negara yang menjunjung prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang,” katanya.
Guna Sara, Budi95
Minggu lalu, Pasukan Tindakan Indira Gandhi (Ingat) dan Agamam Ani Malaysia yang diketuai aktivis sosial, Arun Dorasamy memaklumkan rancangan untuk membuat laporan kepada SPRM serta mengadakan perarakan ke Bukit Aman, dengan mendakwa pihak polis masih gagal bertindak dalam usaha mengesan Prasana.
Satu hantaran di media sosial mengenai Riduan telah menarik semula perhatian terhadap pengendalian kes tersebut oleh polis dan Jabatan Peguam Negara (AGC), dengan mendakwa Riduan masih berada di Malaysia dan menerima bantuan kerajaan seperti Budi95 dan Bantuan Keperluan Asas Rahmah (Sara).
Semakan Malaysiakini di platform Budi95 dan Sara menggunakan nombor kad pengenalan yang dikaitkan dengan Riduan mendapati akaun tersebut telah menggunakan sepenuhnya bantuan tunai Sara berjumlah RM100, serta hampir 100 liter daripada kuota subsidi petrol Budi95.
Semakan di portal status perjalanan Jabatan Imigresen menggunakan nombor kad pengenalan yang sama juga menunjukkan tiada sekatan terhadapnya untuk ke luar negara.






