Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan membuat keputusan jika mahu bekerjasama dengan PH dan BN pada pilihan raya negeri akan datang, kata Pengerusinya Hajiji Noor dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dibuat susulan pertemuan ketua menteri Sabah itu dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam
Anwar yang juga pengerusi PH dikatakan menyuarakan harapan untuk melihat kerjasama antara parti-parti di Sabah.
“Saya berjumpa dengan Perdana Menteri dan kita amat menghormati pandangan serta nasihat
beliau mengenai macam mana untuk mewujudkan kestabilan politik di Sabah kerana kalau stabil kita boleh maju dan melaksanakan pelbagai pembangunam untuk rakyat dan kita menghormati itu.
“Dalam konteks kerjasama, kita tiada masalah kerana kerajaan negeri hari ini adalah GRS-PH Plus. Tapi, apa pun keputusan kita pada PRN nanti, kita akan rujuk kepada Ahli Majlis Tertinggi GRS untuk memutuskan.
“Tapi saya menyatakan kepada perdana menteri bahawa di Sabah kita perlu melihat aspirasi tempatan untuk mewujudkan persefahaman politik untuk maju ke depan,” katanya pada satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Hajiji menegaskan GRS mesti kekal memegang peranan utama dalam apa jua bentuk kerjasama yang bakal diputuskan menjelang pilihan raya negeri nanti.
“Saya bangga kerana kita mempunyai satu pasukan mantap dalam kerajaan dan rakyat memberikan sokongan padu. Kita mesti belajar daripada sejarah politik Sabah, kalau asyik gaduh, kita akan berpecah.
“Atas sebab itu saya mahu GRS menjadi ketua pada PRN nanti, saya merasai denyut nadi rakyat kepada kita. Aspirasi mereka mahukan supaya kerajaan diketuai oleh sebuah parti tempatan di Sabah.
“Kita jangan fikir lain lagi, kita mesti pastikan sokongan kepada kerajaan hari ini yang sudah kita nampak bukti pencapaiannya,” katanya lagi.
Pada Jumaat lalu, Hajiji berkata GRS bersedia bertanding secara solo dalam pilihan raya negeri akan datang.
Kenyataan itu dibuat selepas PH dan BN mengumumkan kerjasama bersama untuk menghadapi pilihan raya negeri Sabah ke-17.