Malaysia Oversight

‘Denda RM100,000 tidak berlebihan demi pastikan tanggungjawab media’

By MkiniBM in September 20, 2025 – Reading time 2 minute
'Denda RM100,000 tidak berlebihan demi pastikan tanggungjawab media'


Denda RM100,000 yang dikenakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ke atas Sin Chew Media Corporation Berhad dan Sinar Karangkraf Sdn Bhd tidak berlebihan, sebaliknya bagi memastikan tanggungjawab media, kata Ketua Cabang Batu, Asheeq Ali Sethi Alivi.

“Kebebasan bersuara adalah tonggak demokrasi, namun ia bukan lesen untuk menyebarkan maklumat palsu atau yang boleh menimbulkan mudarat tanpa dikenakan tindakan.

“Bagi organisasi media yang mempunyai pengaruh besar terhadap pandangan awam, kebebasan ini datang bersama satu tanggungjawab besar dan tidak boleh dikompromi: untuk tepat, adil, dan bertanggungjawab,” katanya.

Dalam kes Sin Chew Daily, dia menegaskan alasan bahawa kesilapan berlaku akibat penggunaan kecerdasan buatan (AI) tidak dapat diterima.

“Walaupun AI beri banyak kelebihan, ia menuntut tahap kewaspadaan manusia yang lebih tinggi. Tanggungjawab utama sesebuah organisasi media adalah memastikan semua kandungan yang diterbitkan ditapis dengan teliti.

“Kesilapan menerbitkan ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap adalah satu kecuaian serius terhadap simbol kedaulatan negara. Mana-mana syarikat media dengan pengalaman puluhan tahun sepatutnya mempunyai proses penyuntingan dan kawalan kualiti yang ketat bagi mengelakkan kesilapan sebegitu. Kegagalan ini menunjukkan kelemahan asas dalam prosedur editorial yang tidak boleh dipandang ringan,” katanya.

Asheeq menambah, jika denda terhadap media dianggap berbahaya, maka kesilapan bendera oleh Sin Chew “adalah bencana nasional.”

Mengenai Sinar Harian, Asheeq berkata kesilapan akhbar itu lebih kritikal kerana berpotensi menjejaskan reputasi individu serta menggugat keyakinan awam terhadap institusi negara.

4c1b21b3ad9bf34a7a47a86ee7443a7e

“Kesilapan menyatakan bahawa Ketua Polis Negara adalah ahli sebuah parti politik bukanlah kesilapan kecil. Ia adalah perbuatan laporan palsu yang boleh mencemarkan imej serta kredibiliti seorang tokoh penting dalam pasukan keselamatan negara. Jika tidak ditangani, maklumat salah sebegini boleh menimbulkan keraguan awam dan menghakis keyakinan terhadap pihak berkuasa.

Semalam, MCMC mengumumkan denda RM100,000 dikenakan terhadap Sin Chew dan Sinar Karangkraf selepas mendapat kebenaran Jabatan Peguam Negara.

Kedua-dua penerbit itu disiasat di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan didakwa di bawah Seksyen 243 akta sama.

Majlis Media Malaysia (MMC) dalam kenyataan segera menyuarakan kebimbangan terhadap langkah itu, dengan menyifatkan hukuman berkenaan sebagai “berlebihan.”

Dalam kenyataan berasingan, Tokoh Wartawan Negara, Johan Jaafar turut mengecam tindakan itu, menyifatkannya sebagai “tidak pernah berlaku dan berbahaya” serta boleh dilihat sebagai usaha menjejaskan prinsip kebebasan media dan kebebasan bersuara di Malaysia.



Source link