Himpunan besar-besaran yang dijadual berlangsung Sabtu ini di ibu negara bukan bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan, sebaliknya sekadar menuntut peletakan jawatan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Afnan Hamimi Taib Azamudden, menjelaskan bahawa himpunan yang dinamakan “Himpunan Turun Anwar” itu mensasarkan Anwar secara peribadi, dan bukannya struktur kerajaan perpaduan secara keseluruhan.
“Himpunan Turun Anwar adalah untuk turunkan Anwar, individu yang bermasalah dalam negara ini adalah Anwar.
“Dalam Pakatan Harapan (PH), BN ada yang pandai buat kerja, yang jilat orang tak boleh. Turunkan Anwar naikkan tokoh lain, kalau tak ada (tokoh lain) bagi kami (PN).
“Himpunan ini bukan untuk kudeta…cuma sampaikan mesej secara demokrasi,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Afnan yang juga Ketua Pemuda PAS, himpunan itu dijangka menghimpunkan sekurang-kurangnya 300,000 peserta, menjadikannya sebagai kemuncak kepada siri-siri himpunan kecil yang dianjurkan sebelum ini oleh PAS dan PN bagi menggesa Anwar berundur.
Menjawab cabaran Perdana Menteri agar pembangkang mengemukakan usul undi tidak percaya di Parlimen, Afnan membayangkan bahawa PN tidak memiliki cukup sokongan untuk berbuat demikian. Namun, beliau memberi isyarat usaha ke arah itu tetap berjalan, sambil mengharapkan ahli-ahli parlimen kerajaan akan bertindak berani.
“Usaha itu berlaku tapi kita perlu ahli-ahli Parlimen dari sebelah yang berani, kita nak mereka benar-benar berani,” katanya ringkas.
Terdahulu pada 21 Julai, Anwar dilaporkan menyatakan bahawa kerajaan tidak akan menghalang sekiranya usul undi tidak percaya dikemukakan terhadap beliau di Dewan Rakyat.
Anwar turut memaklumkan bahawa beliau telah berbincang dengan Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, supaya sebarang usul sedemikian jika dikemukakan akan terus dibahaskan serta-merta.
“Saya beritahu speaker (Johari) kalau ada usul, (maka undian akan dijalankan) hari ini,” katanya semasa perhimpunan bersama kakitangan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.