Rindu yang mendalam kepada insan tersayang mencetuskan idea kerjaya bagi beberapa individu dengan menawarkan ‘khidmat peneman’ kepada golongan warga emas dan wanita yang memerlukan bantuan tertentu.
Perkhidmatan ini merangkumi menemani pelanggan mendapatkan rawatan susulan di hospital, menghadiri mesyuarat, membeli-belah, beriadah, serta bersiar-siar.
Inilah khidmat istimewa yang ditawarkan oleh tiga wanita sejak tahun lalu, dan ia menerima sambutan yang amat menggalakkan, khususnya daripada golongan sasar.
Khidmat sokongan tersebut bukan sekadar menghantar dan menunggu, bagi mereka ia adalah satu sentuhan kasih sayang yang diterjemahkan melalui perbuatan — untuk mengisi kekosongan, mengubat rindu, dan menyentuh hati insan lain yang sedang berjuang dalam hidup.
Zuraidah Md Daud, 50, atau lebih mesra disapa Ucu, memulakan perkhidmatan ‘peneman mak ayah ke hospital’ sejak awal Mei.
Berbekalkan sebuah Perodua Ativa, dia memberikan khidmat peneman kepada warga emas dengan harapan golongan itu mempunyai sokongan dari segi perjalanan dan keselamatan.
Jelasnya, mereka yang mendapatkan khidmat ini terdiri daripada warga emas yang tidak mempunyai waris, berjauhan dengan anak-anak atau anak-anak sibuk dengan kerja mereka untuk menemani rutin tertentu.

“Saya pernah berada dalam situasi itu. Kadang-kadang mak ayah tak sampai hati nak minta tolong, anak-anak pula sibuk kerja. Saya tahu betapa peritnya rasa sunyi di hospital,” katanya kepada Malaysiakini.
Ucu berkata, dia menawarkan perkhidmatan itu di sekitar Selangor termasuk Hospital Puncak Alam, Hospital Avesina, dan Hospital Shah Alam, dengan caj RM20 sejam dan caj tambahan 70 sen bagi setiap satu kilometer (km) selain kos tol dan parkir.
Berbekalkan kebolehan berbahasa Tamil, Ucu menyediakan dua perkhidmatan utama iaitu menjemput, menemani, dan menghantar pulang atau menemani di hospital sahaja.
“Saya sediakan perkhidmatan ini secara bersendirian tanpa sebarang pasukan, bagi setiap pelanggan saya akan kenakan deposit RM50 untuk pengesahan perkhidmatan bagi mengelak penipuan.
“Setakat ini saya ada beberapa individu yang sudah menjadi pelanggan tetap. Walaupun mereka berstatus pelanggan, saya anggap dan melayan mereka seperti mak saya sendiri,” jelasnya.
Bagi Farah Nurul Fatimah Rezemi, 29, kehilangan ayahnya pada Disember 2024 akibat angin ahmar meninggalkan kekosongan yang amat mendalam.
Bertitik tolak daripada pengalaman menemani arwah ayahnya menjalani rawatan di hospital, tercetuslah ilham untuk menyediakan perkhidmatan yang dinamakan ‘Fatimah Kan Ada’ bagi membantu mereka yang memerlukan teman dan sokongan di saat sukar.

“Saya biasa uruskan ayah menerima rawatan di hospital. Jadi bila ayah dah tak ada, saya teruskan tugas itu untuk mak ayah orang lain pula,” katanya.
Menggunakan Perodua Axia — kenderaan penuh kenangan bersama arwah ayah — Fatimah menawarkan perkhidmatan mengambil, menemani dan menghantar semula pelanggan wanita ke hospital, khususnya di sekitar Putrajaya, Seremban dan Cyberjaya.
Menurutnya, caj perkhidmatannya dikira berdasarkan tempoh masa iaitu RM20 sejam. .
“Perkhidmatan ini terbuka kepada wanita semua peringkat umur dan individu lelaki berusia 60 tahun ke atas. Kadang kala, saya turut membantu pesakit ditahan di wad termasuk ibu bersalin.
“Setiap kali ke hospital, saya rasa macam saya masih bersama ayah. Moga setiap langkah ini jadi doa buat arwah ayah saya, Rezemi Budin,” katanya.
Sementara itu, Wiwik Afiza Abdul Malik, 47, yang juga pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) turut memilih menjalankan khidmat peneman di sekitar Bandar Baru Bangi.

Bermula dengan perkhidmatan menemani wanita dan warga emas, dia juga bersedia menjadi peneman bagi mereka yang perlu bantuan dalam menjalankan aktiviti harian yang sering dianggap remeh, namun amat penting bagi sesetengah orang.
“Idea ini tercetus daripada pengalaman seorang rakan yang menghidap anxiety. Dari situ, tercetuslah idea untuk menyediakan perkhidmatan peneman hospital, memberi mereka yang memerlukan sokongan semasa urusan penting seperti temujanji kesihatan, urusan pejabat, atau sekadar membeli-belah.
“Rakan saya ada masalah anxiety, dia sangat sukar keluar rumah tanpa peneman. Itu memberi saya kesedaran yang ramai di luar sana, terutama ibu bapa atau wanita, yang tidak mampu keluar sendiri kerana faktor kesihatan, kekurangan sokongan, atau kerana tiada yang menemani,” katanya.
Tambahnya, perkhidmatan mengiringi wanita disediakannya itu dikenakan bayaran RM40 sejam.
Katanya, caj ini termasuk pengangkutan menggunakan kenderaannya sendiri, namun jika perkhidmatan itu melibatkan perjalanan jauh atau pengangkutan lain, bayaran tambahan akan dikenakan berdasarkan kadar aplikasi e-hailing.
“Dengan kehidupan yang semakin sibuk, ramai wanita, terutama ibu-ibu, terpaksa menguruskan segala hal sendirian. Saya mahu bantu mereka merasa lebih selamat dan tenang semasa keluar berurusan.
“Berkonsepkan keperluan komuniti, saya memberi fokus utama kepada wanita, tanpa mengira usia. Walaupun perkhidmatan ini lebih tertumpu kepada wanita, saya juga membantu warga emas atau sesiapa yang memerlukan bantuan sementara.
“Banyak kes yang mana wanita perlu bantuan untuk pergi ke hospital, temujanji pejabat, atau hanya untuk membeli-belah. Saya mahu pastikan mereka tidak berasa terasing atau terbeban, selamat dan boleh melaksanakan rutin harian mereka dengan lancar,” kata Afiza.
Bekas sarjan TLDM itu berkata, perkhidmatannya mendapat sambutan yang baik dalam kalangan komuniti setempat dan pengalamannya sebagai pegawai tentera membantu memberi keyakinan kepada pelanggan.
“Saya lihat ramai yang memerlukan khidmat seperti ini. Walaupun saya tak lagi memakai seragam TLDM, semangat saya untuk terus memberi khidmat tidak pernah luntur. Dalam dunia yang semakin sibuk ini, saya mahu mereka tahu, ada orang yang akan menemani dan membantu mereka tanpa perlu risau.
“Saya rasa bertanggungjawab untuk meneruskan khidmat kepada komuniti setempat. Saya mahu terus memberi, walaupun tidak lagi di dalam skuad (TLDM). Saya percaya usaha kecil ini boleh memberi impak yang besar pada orang lain,” kata yang juga ibu kepada tiga cahaya mata.