Dell Pro Plus Earbuds Dijual Di Malaysia Pada Harga RM698
Amy Maizuraa
Dell kini menawarkan fon telinga Dell Pro Plus Earbuds di Malaysia pada harga RM698. Ia menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengurangkan bunyi bising. Ia juga sesuai digunakan semasa mesyuarat dalam talian serta diperakui untuk digunakan bersama Microsoft Teams dan Zoom.

Fon telinga ini menyediakan fungsi ANC yang mampu mengurangkan gangguan bunyi persekitaran. Ia turut dilengkapi dengan mikrofon pintar berasaskan AI bagi memastikan suara pengguna sentiasa jelas walaupun dalam suasana yang bising. Empat pilihan saiz putik telinga disediakan untuk keselesaan berpanjangan.

Tambatan pantas boleh dilakukan melalui Bluetooth 5.3 dan boleh dipadankan dengan lapan peranti serta dua sambungan serentak. Ia tahan lasak dan kalis air dengan penarafan IP54. Bateri digunakan boleh bertahan sehingga 8 jam dan sehingga 33 jam jika digunakan bersama bekas pengecas.

Pro Plus Earbuds ini menyokong kawalan sentuhan untuk melaras audio, mengaktifkan atau mematikan ANC, mod transparensi dan kawalan muzik. Ia juga serasi dengan sistem operasi Windows terkini, iOS, Android serta macOS. Pengguna boleh mengubah suai tetapan audio melalui aplikasi Dell Audio Mobile.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






