Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini menyifatkan penandatanganan Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Asean 2045: Masa Depan Bersama sebagai detik yang paling penting dalam perjalanan integrasi rantau ini.
Menegaskan bahawa masa depan Asean mesti bergantung kepada “asas kemampanan dan keterangkuman,” perdana menteri berkata, integrasi serantau mesti benar-benar berpaksikan rakyat.
“Ini bermakna menutup jurang perbezaan pembangunan, meningkatkan taraf hidup dan melabur dalam semangat kemanusiaan dan potensi semua rakyat kita,” katanya dalam ucapan perasmian sebelum majlis menandatangani deklarasi itu di Kuala Lumpur hari ini.
Deklarasi itu – yang diperakui semasa Sidang Kemuncak Asean kali ini – mewakili peristiwa penting dalam komitmen blok tersebut membina komuniti serantau yang lebih berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berpaksikan rakyat.
Visi baru itu akan menggantikan Asean 2025: Forging Ahead Together yang diterima pakai pada 2015.
Dokumen itu ditandatangani oleh Anwar selaku Pengerusi Asean, Presiden Filipina Ferdinand Romualdez Marcos Jr yang juga pengerusi akan datang kesatuan berkenaan; serta Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Perdana Menteri Kemboja Hun Manet; Presiden Indonesia Prabowo Subianto; Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone; Perdana Menteri Singapura Lawrance Wong; Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra; Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh; dan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Myanmar Aung Kyaw Moe.
Turut berada di pentas menyaksikan majlis itu ialah Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmao. Timor-Leste diberikan status pemerhati dalam Asean pada 2022.

Antara yang turut menyaksikan majlis penandatanganan ialah dua Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof, Menteri Luar Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Anwar berkata pelan tindakan bersama yang digariskan dalam Deklarasi Kuala Lumpur adalah visi yang berpaksikan realisme, digerakkan oleh keazaman dan dilaksanakan menerusi kepercayaan.
“Apabila kita buka halaman ini, kita perbaharui janji kepada rakyat, kepada rantau kita dan kepada generasi yang akan datang.
“Mari kita bergerak ke hadapan dengan visi yang jelas, mantap dalam tujuan kita dan perpaduan dalam hasrat untuk membina Asean yang kita wariskan kepada generasi akan datang,” katanya.
Memetik deklarasi penubuhan Asean pada 1967, Anwar berkata pemimpin awal blok itu berjanji untuk bersatu dalam persahabatan dan kerjasama.
Melalui usaha serta pengorbanan bersama, katanya, ia menjamin keselamatan buat rakyat masing-masing dan generasi berikutnya, dirahmati dengan keamanan, kebebasan dan kemakmuran.
“Hari ini kita perbaharui janji suci kita bukan sebagai penghormatan kepada masa lalu, tetapi sebagai janji untuk kehidupan untuk masa depan,” katanya.
Anwar berkata seperti yang sering diperkarakan ramai, cara terbaik untuk meramal masa depan ialah menciptanya sendiri, dan itulah yang sedang diusahakan Asean melalui usaha yang tekal selama bertahun-tahun, perkongsian bersama dan visi strategik.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang dalam pembentukan Visi Asean 2045 dengan berkata, ia dicapai melalui kegigihan, pragmatisme dan kuasa kepercayaan serantau.
Mengimbau sedekad lalu, Anwar berkata, Asean melancarkan Visi Komuniti Asean 2025 di Kuala Lumpur dengan menegaskan peranan blok itu sebagai tonggak kestabilan dan pusat tarikan ekonomi yang semakin meningkat.
[Laporan lanjut menyusul]