DeepSeek R2 Dilaporkan Tertangguh Disebabkan Isu Dengan Cip Huawei
Effi Saharudin
Model DeepSeek R1 dilancarkan Januari tahun ini dan ia memulakan paradigma dalam latihan model kecerdasan buatan (AI). DeepSeek R1 dikatakan menelan belanja latihan lebih murah dan menggunakan cip yang berkuasa lebih rendah menyebabkan saham syarikat seperti NVIDIA terjejas pada waktu tersebut. Dengan kejayaan R1, ramai menanti model seterusnya DeepSeek R2 dengan ia dipercayai akan dilancarkan pada bulan Mei.
Mei datang dan pergi tetapi R2 masih belum dilancarkan hinggalah ke hari ini. Dalam laporan Financial Times hari ini, isu dengan cip Huawei Ascend dipercayai menjadi sebab model AI ini tertangguh. Cip Huawei Ascend menimbulkan beberapa isu sehingga memaksa DeepSeek menggunakan cip NVIDIA untuk tujuan latihan dan Ascend pula hanya untuk melakukan tugas inferens.

Pemain industri di China mengatakan cip buatan China masih di belakang kemampuan cip NVIVIDA dari segi kestabilan, perisian dan sambungan antara satu sama lain. April lalu Huawei CloudMatrix 384 dilancarkan sebagai pesaing kepada sistem NVIDIA GB200 NVL72 dengan prestasi yang dikatakan lebih tinggi tetapi memerlukan lebih banyak kuasa elektrik.
Huawei membangunkan cip AI sendiri bukan sahaja kerana halangan teknologi Amerika Syarikat tetapi bagi membolehkan China berdikari dengan teknologi buatan tempatan. Hubungan buruk antara China dan Amerika Syarikat telah menyebabkan kerajaan menyarankan syarikat tempatan untuk tidak menggunakan cip kecerdasan buatan (AI) NVIDIA H20 terutamanya untuk projek berkaitan dengan kerajaan.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.