DBKL kurangkan kadar sewa tapak bazar Ramadan 2026 kepada RM400, termasuk kanopi dan insurans, untuk meringankan beban penjaja kecil
PUTRAJAYA: Kadar sewa tapak bazar Ramadan 2026 di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah diturunkan kepada RM400.
Pengurangan RM100 daripada kadar sebelumnya RM500 bertujuan meringankan beban kos penjaja kecil.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata kadar caj maksimum RM400 itu termasuk kanopi dan insurans liabiliti awam.
“Kadar caj yang sama turut diwajibkan ke atas persatuan penjaja bagi meringankan kos penjaja kecil khasnya (yang berniaga) di bazar Ramadan di bawah seliaan DBKL,” katanya.
Beliau menegaskan amalan sublet, jual beli tapak atau pengambilan untung berlebihan adalah dilarang sama sekali.
Tindakan penguatkuasaan akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pelanggaran termasuk yang melibatkan penganjur.
Penganjuran bazar Ramadan tahun ini akan diadakan di sembilan lokasi bawah seliaan DBKL.
Sebanyak 32 lokasi lain pula akan dikendalikan oleh persatuan penjaja.
DBKL bersama Kementerian Kesihatan dan KPDN akan membuat pemeriksaan setiap hari sepanjang Ramadan bagi menjaga kualiti dan kawalan harga makanan.
“Saya berharap bila kita turunkan kadar caj, peniaga juga akan munasabah dari segi harga makanan (yang dikenakan) kepada pelanggan warga Kuala Lumpur,” kata Hannah.
Sementara itu, sewa tapak bazar Ramadan 2026 bagi kawasan Putrajaya dikekalkan pada kadar RM1,000.
Hannah berkata Kerajaan MADANI melaksanakan penambahbaikan menyeluruh terhadap penganjuran bazar Ramadan 2026 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Penganjuran bazar tahun ini berteraskan prinsip tersusun, telus, berintegriti dan adil.






