PARLIMEN | Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang mengkaji reka bentuk infrastruktur bagi menghalang golongan gelandangan daripada tidur di tempat awam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, DBKL sedang meneliti reka bentuk infrastruktur di bandar-bandar utama seperti London, Tokyo dan Singapura.
“Pendekatan ini juga melibatkan reka bentuk bangku awam, contohnya yang tidak sesuai untuk mereka berbaring, pencahayaan yang optimum serta susun atur landskap yang menggalakkan penggunaan sementara dan juga selamat.
“Jadi langkah ini dilaksanakan secara berhemah agar ruang bandar kekal mesra pengguna namun tidak menggalakkan aktiviti gelandangan yang berterusan,” katanya kepada Dewan Rakyat hari ini.
Dia menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) mengenai pusat transit untuk golongan gelandangan.
Reka bentuk insfrastruktur yang menghalang orang daripada tidur di atasnya turut dikenali sebagai “hostile architecture”, “defensive architecture”, dan “exclusionary design”.
Aktivis hak asasi manusia menyifatkan penggunaan kemudahan sebegini tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah, dengan alasan ia bukan sahaja menyasarkan golongan gelandangan tetapi juga menjadikan ruang awam tidak selesa dan kurang mesra.
Pengkritik menegaskan kemudahan anti-gelandangan tidak menyelesaikan masalah asas yang menyebabkan wujudnya gelandangan, dan dana untuk infrastruktur sebegini lebih baik disalurkan untuk kebajikan.
Selain itu, Zaliha berkata dia mencadangkan DBKL melaksanakan dasar yang hanya membenarkan agihan makanan kepada gelandangan dalam bentuk pek retort yang lebih tahan lama.
“Sebab ia lebih kekal lama sikit, dan kita dapat mengurangkan risiko pembaziran makanan yang cepat basi,” katanya.
Pembungkusan retort mengandungi makanan berasid rendah yang telah disteril melalui pemprosesan haba dalam bekas tekanan.
Ini membolehkan makanan kekal segar lebih lama tanpa perlu disimpan sejuk sambil mengekalkan rasa, tekstur, dan nutrien semula jadi. Bagaimanapun, kaedah ini lebih lambat untuk menghasilkan makanan dan kos menghasilkan beg retort boleh melebihi kos tin logam.
Laporan oleh: Zarrah Morden, Alyaa Alhadjri, N Faizal Ghazali






