Kumpulan Mandiri menyifatkan Kementerian Pendidikan sebagai “syok sendiri” kerana tidak melibatkan pihak-pihak berkaitan dengan sewajarnya ketika merangka dasar berhubung kebajikan pelajar.
Penyelaras Mandiri Hamdin Nordin mendakwa program sekolah selamat kementerian itu seperti tidak mencapai matlamat kerana tidak mendapatkan pandangan daripada pihak berkepentingan.
“Kita menuntut apabila ada pembentukan dasar dibuat untuk sekolah, perlu ada sesi libat urus…dilibatkan gerakan mahasiswa dan sivil untuk berbincang bersama-sama.
“Apabila tiada sesi libat urus, akhirnya kementerian cuma ‘syok sendiri’.
“Mereka rasa sudah buat yang terbaik, sedangkan itu belum lagi terbaik. (Dasar) menjadi terbaik apabila sudah mendapatkan kritikan dan cadangan daripada masyarakat sivil,” katanya ketika temubual bersama KiniTV.

Hamdin turut mengkritik Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, dengan mendakwa walaupun menteri itu membawa dasar keselamatan sekolah di Parlimen, dia gagal memastikan pelaksanaannya berjalan dengan betul.
Katanya, ketika wakil beberapa kumpulan bertemu dengan Fadhlina baru-baru ini, sebagai sebahagian daripada usaha menuntut keadilan dan jawapan berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, menteri berkenaan membangkitkan tentang dasar sekolah selamat yang dibentangkan pada tahun ini.
“Dia (Fadhlina) kata kita sudah ada dasar sekolah selamat…Tapi akhirnya dasar itu tidak menyelamatkan pun. Dasar yang baik, kalau tidak diimplementasikan dengan baik, ia tidak berguna.
“Jadi akhirnya dasar itu hanya jadi kertas untuk pembentangan di Parlimen, untuk menjadi panduan tetapi tidak digunakan secara praktik di sekolah. Apa gunaya kalau ada banyak dasar berkaitan keselamatan di sekolah (jika) isu itu masih berlaku?” soalnya lagi.
Dia menggesa Fadhlina untuk melawat sekolah dan komuniti di Sabah agar lebih tahu tentang masalah serta rungutan rakyat.
“Menteri juga boleh dengar terus tuntutan rakyat Sabah yang kecewa dan marah dengan (pengendalian) kes Zara,” katanya lagi.
Zara ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang di bawah asrama sekolahnya di Papar pada 16 Julai dan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Kematian Zara, yang disyaki berpunca daripada buli, telah mencetuskan kemarahan di seluruh negara, dengan ramai menuntut pertanggungjawaban atas insiden itu serta langkah lebih tegas untuk membanteras buli di institusi pendidikan.
Polis mengesahkan satu pasukan khas dari Bukit Aman akan mengambil alih siasatan kematian Zara, manakala Jabatan Peguam Negara telah mengarahkan supaya inkues dibuat,
Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini berkata tiga pegawai kanan polis yang terbabit dalam siasatan awal kes Zara disyaki melanggar prosedur operasi standard ketika menjalankan siasatan.