PETALING JAYA: Tumpuan utama pentadbiran negara sepanjang tiga tahun kerajaan Madani adalah memastikan setiap dasar serta keputusan kerajaan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan komitmen itu sempena genap tiga tahun memikul amanah sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah sejak 5 Disember 2022.
Beliau berkata, sepanjang tempoh itu, pelbagai dasar digerakkan merangkumi usaha memperkukuh ekosistem pembangunan desa, mengangkat Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), memperkasa ekonomi bumiputera serta mengembangkan industri halal.
Katanya, usaha tersebut turut melibatkan pemodenan pengurusan bencana serta menyantuni komuniti luar bandar di seluruh negara bagi memastikan tiada rakyat yang tercicir dalam arus kemajuan negara.
“Tiga tahun yang sarat dengan cabaran, penuh dengan pengalaman baharu dan Alhamdulillah, banyak pencapaian yang membawa makna kepada rakyat serta negara.
“Segala pencapaian ini tidak mungkin berlaku tanpa sokongan padu daripada seluruh jabatan yang saya kemudi, warga Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), agensi-agensi di bawahnya, rakan-rakan kementerian, kepimpinan negara dan pastinya rakyat Malaysia yang terus percaya kepada usaha yang sedang kita jalankan.
“Terima kasih atas kepercayaan dan doa yang tidak pernah putus,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, usaha memajukan negara masih perlu diteruskan bagi memastikan matlamat yang digariskan dapat dicapai dan terlaksana.
“Insya-Allah, saya akan terus memikul amanah ini dengan penuh tanggungjawab. Perjalanan ini masih panjang dan masih banyak yang perlu kita jayakan bersama.
“Semoga Allah SWT terus memandu langkah kita untuk memastikan Malaysia melangkah ke hadapan sebagai sebuah negara yang maju, bermaruah dan sejahtera,” katanya. – UTUSAN

![[SALAM PERANTAUAN] Jauh di mata, dekat di hati](https://prwire.my/wp-content/uploads/2026/03/SALAM-PERANTAUAN-Jauh-di-mata-dekat-di-hati-300x200.jpeg)


