Darjah Satu Pada Usia Enam Tahun Bermula 2027 – Dua Peperiksaan Berpusat Baharu Juga Diperkenalkan
Effi Saharudin
Kementerian Pendidikan Malaysia hari ini melancarkan Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 yang akan mengubah umur kemasukan ke darjah satu, memperkenalkan dua peperiksaan berpusat baharu dan mewajibkan pengejaran dua subjek di sekolah antarabangsa, persendirian, tahfiz serta agama rakyat.
Pengumuman paling menarik pastinya darjah satu kini akan bermula pada usia 6 tahun bermula sesi persekolahan 2027. Pendaftaran awal akan dibenarkan secara sukarela bagi ibu bapa yang ingin anak-anak mereka menerima pendidikan formal lebih awal berbanding pada usia 7 tahun sejak sekian lama.

Untuk menilai tahap pembelajaran dalam kalangan pelajar pula, peperiksaan berpusat oleh Lembaga Peperiksaan akan diperkenalkan bermula 2026 untuk pelajar tahun 4 dan satu lagi untuk pelajar tingkatan 3 bermula 2027.
Peperiksaan tahun 4 melibatkan mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Sementara itu peperiksaan tingkatan 3 pula melibatkan mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.
Untuk pelajar sekolah antarabangsa, persendirian, tahfiz dan agama rakyat pula, mereka kini wajib mempelajari Bahasa Melayu dan sejarah mengikut kurikulum kebangsaan dengan ia dilaksanakan dalam jadual waktu rasmi persekolahan. Dua subjek ini juga diwajibkan bagi pelajar UEC yang menjadi isu besar beberapa bulan lalu.





