Malaysia Oversight

Dari Gwangju ke KL: Obor demokrasi tak pernah padam

By MkiniBM in September 5, 2025 – Reading time 6 minute
malaysiakini logo


ULASAN | Ketika menulis artikel ini, penulis berada di Gwangju, sebuah bandar metropolitan jauh ke selatan Korea Selatan.

Sesiapa yang pernah menonton filem Korea bertajuk “A Taxi Driver” pasti tahu tentang kisah kebangkitan rakyat bermatian berjuang melawan rejim tentera dalam mempertahankan demokrasi. Insiden berdarah ini dikenali dengan Kebangkitan Gwangju (Gwangju Uprising) 1980.

Maka nak dijadikan cerita, penulis di Gwangju ketika ini atas jemputan May 18 Foundation, sebuah yayasan tempatan yang diasaskan bersempena tragedi berdarah 18 Mei 1980 dalam sejarah moden Korea Selatan. Gwangju, bandar yang hidup dan bernafas dengan nafas perjuangan demokrasi.

Selain K-pop dan K-drama, Korea Selatan terkenal mempunyai sejarah panjang dan amat sinonim dengan perjuangan kebangkitan rakyat melawan pemerintah diktator.

Dalam sejarah gerakan demokrasinya, dapat dikenal pasti seawal tahun 1894 lagi dengan Revolusi Donghak Peasant, Gerakan Kemerdekaan Mac 1919, Gerakan Kemerdekaan Mahasiswa 1929, Revolusi April 1960, Gerakan Kebangkitan Demokrasi 18 Mei 1980, Perjuangan Jun 1987, Perjuangan Mei 1991, sehinggalah kebangkitan terbaru Disember 2024 yang lepas berkaitan protes terhadap bekas Presiden Yoon yang telah mengisytiharkan undang-undang tentera (martial laws).

Untuk rekod, perjuangan demokrasi khususnya tragedi dalam Kebangkitan 18 Mei 1990 di Gwangju ini akhirnya telah diiktiraf melalui penggubalan sebuah akta pada 1995 yang bernama “Special Act on the May 18 Democratization Movement” bagi memperingati semangat perjuangan berdarah ketika itu, selain memberi keadilan kepada mangsa tragedi tersebut.

Mahasiswa penggerak utama

Tambah membuka mata dalam sejarah kebangkitan demokrasi mereka ini, enjin utamanya adalah golongan mahasiswa dan anak muda. Di Gwangju ini, meremang bulu roma apabila penulis berpeluang sendiri melawat beberapa tapak bersejarah insiden pembunuhan dan pembantaian oleh rejim tentera ketika Kebangkitan Demokrasi Gwangju 1980, seperti pekarangan Universiti Chonnam, menara jam dan air pancut yang ikonik di Dataran Demokrasi, dan bekas bangunan wilayah Jeonnam yang menjadi sasaran serangan rejim tentera terhadap para demonstran ketika itu.

Kebangkitan anak muda dan rakyat ketika itu bermula apabila pihak tentera bertindak mengambil alih pemerintahan negara serta mengisytiharkan pelaksanaan undang-undang tentera setelah enam bulan presiden ketika itu dibunuh. Universiti ditutup, komunikasi disekat, propaganda antikomunis diperhebat dan aktiviti perhimpunan awam diharamkan dan pemimpin pembangkang dan aktivis ditangkap bagi menyekat kebangkitan rakyat mempertahan demokrasi.

Keadaan ini semua digambarkan dengan baik dalam filem Korea tentang pemandu teksi dan seorang wartawan Jerman yang disebut awalnya di atas.

Mahasiswa dan anak mudalah jadi penggerak utama kesedaran kalangan rakyat melawan kebobrokan ini. Mereka tekad bangun mempertahankan sebuah pemerintahan dan sistem demokrasi Korea Selatan. Walaupun kebangkitan bersifat menyeluruh di tempat-tempat lain juga di Korea Selatan tahun 1980 ketika itu, perjuangan kebangkitan di Gwangju menjadi lebih unik dek rejim tentera memilih untuk membuat kerahan besar-besaran di Gwangju dalam membungkam kebangkitan rakyat.

Jika diperhatikan, kumpulan mahasiswa boleh dikatakan satu-satunya kumpulan yang amat teratur serta berupaya mendepani pemerintah-pemerintah autoritarian di Korea Selatan. Mereka memainkan peranan yang utama dalam gerakan pendemokrasian negara. Mereka selaku golongan intelektual dan mempunyai semangat muda, merasa terpanggil dan bertanggungjawab untuk berdiri di barisan hadapan bagi pergerakan pendemokrasian kebangsaan dan setempat.

Walaupun pergerakan mahasiswa pada tahun 1960-an dan 1970-an sudah dianggap perjuangan yang jitu menentang diktator, namun kebangkitan Gwangju pada 18 Mei 1980 memperkukuh lagi orientasi perjuangan demi rakyat dan negara. Teras pergerakan mahasiswa ini adalah melalui majlis pelajarnya, namun organisasi-organisasi mahasiswa bersifat bawah tanah seperti kumpulan membaca (study group) kecil juga aktif menjadi pemangkin gerakan kebangkitan ini.

Keadaan ini telah membawa kepada pembentukan Majlis Kebangsaan Perwakilan Pelajar Universiti semasa Kebangkitan Demokratik Jun 1987 dan Persekutuan Majlis Pelajar Universiti Korea Selatan pada tahun 1993. Kumpulan mahasiswa ini terlibat dengan pelbagai gerakan, termasuk gerakan untuk pekerja buruh, petani, miskin bandar, wanita, dan penyatuan semula Korea. Walaupun selepas menamatkan pengajian, mereka terus berjuang untuk pendemokrasian dan keadilan di semua aspek.

Dalam perjuangan 10 hari Kebangkitan Gwangju, junta tentera telah melakukan pelbagai cara dalam menekan dan menindas universiti dan gerakan mahasiswa yang mana antara lainnya dengan melaksanakan latihan ketenteraan, menguatkuasakan pengerahan masuk tentera (conscription), menempatkan polis di kampus, dan menjalankan pengawasan ketenteraan.

Namun, anak muda ini tekad menolak serta melawan pengerahan bagi barisan hadapan, menyeru pendemokrasian menyeluruh dan autonomi kampus dikembalikan. Dedikasi yang dipamerkan generasi muda ini dalam menegakkan demokrasi akan selama-lamanya akan diingati sebagai suatu sinar dalam sejarah pendemokrasian Korea

Lawan tetap lawan

Ironinya, institusi tentera dan polis yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga dan mempertahankan keselamatan rakyat bertukar menjadi makhluk rakus membantai dan membunuh rakyat.

Selain unit beruniform, tentera dan polis berbaju preman menyelinap ke dalam masyarakat, menyusup ke universiti, dan ke ruang awam untuk bukan sekadar menangkap tapi membantai sesiapa sahaja yang dianggap golongan pembangkang junta.

Propaganda kononnya rakyat yang bangkit adalah ejen komunis disebar-luaskan dalam media-media rasmi yang dibenarkan junta bagi menjustifikasi pembantaian rakyat tanpa perikemanusiaan itu.

2ae1f7e01c23890e0230554c351fa44c

Walaupun angka rasmi hanya ratusan orang yang meninggal, beberapa kajian dan aktivis mendakwa jumlah sebenar boleh mencecah ribuan orang, tidak termasuk yang cedera dan hilang. Obor perjuangan jiwa raga mereka di Gwangju ini tidak pernah berhenti bahkan terus disambung sehinggalah mereka mencapai era demokrasi moden Korea pada tahun 1987.

Bagi episod titik hitam terbaru pada Disember 2024 yang lepas di Seoul, penulis turut sempat bertemu dan berdialog bersama dengan beberapa orang penggerak penting kebangkitan rakyat melawan pengisytiharan undang-undang tentera sehinggalah berakhir dengan pemecatan bekas Presiden Yoon.

Diceritakan ketika itu, bukan sahaja para ahli Parlimen, namun para staf Parlimen Korea Selatan sendiri menjadi kumpulan barisan hadapan tekad mempertahankan demokrasi dengan melawan kemaraan tentera bagi merobek demokrasi mereka. Semangat Kebangkitan Gwangju menjadi motivasi utama mereka dalam melawan para petualang negara dan bangsa. Bersalji dan tanpa bumbung, itu bukan halangan untuk mereka terus berjuang memprotes secara besar-besaran.

Rantau kita rantau melawan

Di negara jiran kita Thailand, dapat kita saksikan keadaan sama di mana mahasiswa menjadi tunjang utama gerakan rakyat melawan gerakan antidemokrasi dan promonarki di negara Gajah Putih tersebut. Gerakan baju merah yang kemudiannya disambung oleh gerakan baju oren menjadi bukti pergerakan rakyat melawan gerakan yang tidak demokratik. Berikut antara kejayaan himpunan sekitar tahun 2020-2021 ditunjangi para mahasiswa.

f3730d8772c4161ac11e0e6904e94649

Pastinya pula di negara serantau yang masih belum reda suhu politiknya; Indonesia, mahasiswa dan anak muda yang menjadi barisan hadapan dan menjadi wakil sebenar suara rakyat di lapangan yang tengah bergelut dengan isu kos sara hidup, pendidikan, pengangguran, dan pelbagai lagi isu yang dekat di hati majoriti rakyat Indonesia.

Tanah air Malaysia juga tidak terkecuali gelombang tekanan anak muda sejak sekian lama menjuarai isu-isu nasional termasuk dalam beberapa siri himpunan BERSIH dalam dua dekad yang lepas, termasuk dalam aksi kecil dan besar seperti himpunan #LAWAN, #TangkapAzamBaki serta yang terbaru kes isu adik Zara Qairina, dan sebelumnya berkaitan pelantikan Tuan Yang Terutama Sabah.

Obor di tangan anak muda

Sejarah membuktikan, setiap kali demokrasi diuji, anak muda lahir sebagai barisan hadapan perjuangan. Dari jalanan Gwangju, dataran Bangkok, sehinggalah ke jalanan Kuala Lumpur, suara anak muda tidak pernah padam. Kita mewarisi obor perjuangan yang sama yakni menolak ketidakadilan, menuntut kebebasan, dan mempertahankan demokrasi.

Generasi hari ini mungkin berdepan cabaran yang berbeza dari segi kos sara hidup, peluang pekerjaan, krisis iklim, dan politik yang lesu, namun semangatnya tetap sama. Anak muda harus sedar, sejarah tidak menunggu kita. Kitalah yang menulis sejarah. Jika mereka di Gwangju berani bangun menentang peluru, apakah alasan kita untuk tidak bersuara?

Sejarah Gwangju mengingatkan kita bahawa Malaysia juga memerlukan anak muda yang berani dan beridealisme, kerana demokrasi di sini pun tidak kebal daripada ancaman. Demokrasi tidak pernah datang bergolek. Ia dituntut, diperjuangkan, dan dipertahankan. Demokrasi hanya akan hidup jika anak muda memilih untuk tidak diam. Obor itu kini berada di tangan kita. Jangan sekali-kali kita biarkan ia padam.


AHMAD SALAMI merupakan Pegawai Program Kanan di BERSIH. Pemerhati politik domestik dan antarabangsa secara sepenuh masa serta menelaah isu-isu hak asasi manusia. Serius bila perlu, santai bila boleh.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Source link