WAWANCARA | Bagi Leftenan Jeneral Johnny Lim Eng Seng, segala pencapaian dan penghormatan antarabangsa yang diraihnya — termasuk pelajar terbaik di Maktab Turus Tentera Australia dan warganegara kehormat Korea Selatan — tidak dapat menandingi rasa bangganya berkhidmat untuk negara selama 41 tahun.
Melakar sejarah sebagai pegawai kanan berbangsa Cina pertama yang dinaikkan pangkat ke Leftenan Jeneral dalam 92 tahun Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Komandan Maktab Ketahanan Nasional (NRC) ini menegaskan bahawa mempertahankan tanah air tanggungjawab bersama, bukan milik satu kaum semata-mata.
“Tiada penghormatan yang lebih besar daripada berkhidmat untuk negara kita.
“Pengalaman yang anda perolehi dalam tentera tidak boleh dirasai di tempat lain atau diukur dari segi kewangan.”

Dalam wawancara eksklusif bersama Malaysiakini di Wisma Perwira, Kuala Lumpur, Johnny menegaskan rakyat tidak boleh berkompromi dengan keselamatan negara.
Menurutnya, rakyat perlu bersedia menghadapi ancaman dengan kesedaran yang tinggi.
“Kita perlu belajar dari negara lain yang memberi latihan survival kepada rakyat. Keselamatan bermula dari kesedaran setiap individu.
“Negara perlu melaksanakan lebih banyak program kesedaran keselamatan untuk melibatkan semua kaum dalam mempertahankan negara.
Dari PKBM ke puncak ATM
“Dengan kerjasama semua pihak, kita boleh membina negara yang lebih selamat dan stabil.”
Dilahirkan di Melaka dan mendapat pendidikan di Sekolah Rendah serta Menengah St Francis, minat Johnny terhadap ketenteraan bermula di zaman sekolah melalui Pasukan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM).
“PKBM yang memberikannya saya pendedahan awal tentang disiplin dan kepimpinan. Dari situ minat saya bermula dalam bidang ketenteraan.
“Ketika itu, SFI di bawah 21 Kumpulan Gerak Khas (GGK) Kem Sungai Udang. Jadi kami mendapat latihan fizikal dan ketenteraan yang baik.
“Maklumlah GGK itu. Mereka semua kumpulan gerak khas.”
Dia mendapat sokongan awal daripada pegawai pemerintah GGK, Kolonel Omar bin Dato’ Ismail. Selepas menamatkan sekolah, Johnny menyertai latihan Pegawai Kadet Tauliah Jangka Tetap Ke-25 (TJT 25), kemudian pada 1985 berlatih di Akademi Tentera Diraja Sandhurst, United Kingdom, sebelum ditauliahkan ke Rejimen Renjer Diraja (RRD).
Sepanjang kerjaya, Lim pernah memegang jawatan seperti Komander Batalion, Ketua Jurulatih di Pusat Latihan Tentera, dan Komander Briged.
“Selepas berkhidmat dalam 41 tahun, saya dinaikkan pangkat ke Leftenan General pada bulan Jun ,” katanya.
Kenangan operasi darurat
Antara pengalaman tidak dapat dilupakannya ketika operasi menjejak kem Flower Garden di sempadan Malaysia-Thailand semasa darurat komunis.
“Satu batalion masuk dalam hutan. Dan kita dipecahkan ke beberapa sektor.
“Yang saya tak boleh lupakan, apabila kita mempunyai kejadian… mereka yang meninggal kerana booby-trap (jerangkap samar).
“Booby-trap ketika itu banyak. Dan banyak juga yang cedera. Saya masih muda dan lihat sendiri mereka yang meninggal.”
Operasi itu memakan masa lebih dua bulan, memerlukan pengangkutan helikopter dan bekalan makanan khusus.
Dia turut terlibat dalam operasi di Sarawak menentang Parti Komunis Kalimantan Utara sehingga mereka meletak senjata pada 17 Oktober 1990.
Krisis pandemik
Semasa pandemik Covid-19, Johnny memimpin pasukan tentera membantu pihak berkuasa melaksanakan kawalan pergerakan dan rondaan, membuktikan keanjalan ATM dalam menghadapi krisis. Namun, cabaran utama menurutnya adalah membina perpaduan dalaman.
“Sebagai komander cabaran penting adalah untuk perpaduan di dalam batalion.
“Bagaimana mereka boleh operasi dengan efektif sebagai satu batalion.
“Jadi, cabarannya sebagai seorang pemerintah kecil-kecil itu adalah untuk berkhidmat memimpin mereka supaya boleh jadi efektif,” katanya.

Diminta apakah nasihat kepada rakyat, Lim fikir seketika sebelum berkata “jangan ambil mudah perkara (keselamatan negara)”.
Lim turut menekankan konsep “whole of government, whole of society” dalam Dasar Keselamatan Negara 2021-2025.
Pengalamannya melawat Amsterdam dan Brussels memperkukuh pandangan itu:
“Kerajaan kedua-dua negara ini (Belanda dan Belgium) sedang menggalakkan rakyat agar lebih sedar dan bersedia, kerana keselamatan negara bukan hanya tanggungjawab pasukan keselamatan seperti polis (PDRM) atau tentera (ATM), tetapi juga tanggungjawab bersama setiap warganegara,” katanya.

Pesannya, rakyat Malaysia tidak boleh menganggap keselamatan sebagai urusan pihak berkuasa semata-mata, kerana dunia hari ini penuh ketidakpastian.
“Namun, kita tidak boleh memandang remeh perkara ini. Keadaan dunia hari ini tidak menentu, dan kita tidak tahu apa yang mungkin berlaku pada masa hadapan.
“Oleh itu, adalah penting untuk rakyat Malaysia memahami bahawa menjaga keselamatan negara adalah tanggungjawab semua pihak.
“Kita tidak boleh terus bergantung sepenuhnya kepada kerajaan atau pasukan keselamatan tanpa ada kesedaran dan persiapan sendiri,” katanya.