Ketika Bersatu berdepan pergolakan dalaman, ahli Parlimen DAP, Liew Chin Tong mempersoalkan apakah strategi yang sedang bermain di fikiran setiausaha agung parti itu, Azmin Ali.
Liew mengimbas kembali peranan penting Azmin dalam “Langkah Sheraton” 2020 yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan mengangkat Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

“Saya tertanya-tanya formula baru apa yang sedang difikirkan Azmin – sama ada untuk naik menggantikan Muhyiddin, atau menjatuhkan timbalan presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, dan pada masa sama cuba menampilkan diri sebagai pencabar utama Anwar Ibrahim dalam permainan politik yang lebih besar,” katanya.
BACA: KATA MP l Perpecahan dalaman parti bernama Bersatu
Pada 2020, Azmin yang ketika itu adalah timbalan presiden PKR memimpin sekumpulan ahli parlimen untuk berpaling tadah, sekali gus membuka jalan kepada kejatuhan kerajaan PH.
Mengulas ucapan Muhyiddin di Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu hujung minggu lalu – yang mendakwa wujud usaha menyingkirkannya – Liew berkata pergolakan itu tidak mengejutkan.
“Bersatu tidak berada dalam keadaan baik. Tidak hairan kerana teras kepimpinannya rapuh, terbentuk daripada abu ‘Langkah Sheraton’, terdiri daripada individu tanpa prinsip dan agenda jelas – Muhyiddin sebagai pengasas bersama Bersatu, Hamzah dari Umno yang mengetuai lompat parti selepas PRU14, dan Azmin yang berpaling tadah daripada PKR,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Malah, menurut Liew, Muhyiddin melakukan tiga kesilapan besar dalam ucapannya.
Pertama, beliau menganggap tidak bijak apabila Muhyiddin sendiri menonjolkan kedudukannya yang rapuh.
“Kenapa timbulkan isu ada pihak dalam parti mahu menjatuhkannya jika dia fikir ini perkara kecil – seperti yang dikatakannya kepada wartawan ketika ditanya mengenai protes di dalam dewan?” soal Liew.