DAP berkata ia lebih suka Parlimen dibubarkan serentak dengan dewan undangan negeri Johor, Melaka, dan Sarawak.
Berucap pada majlis perasmian konvensyen DAP Johor 2025 pagi ini, setiausaha agung parti itu, Anthony Loke menjelaskan bahawa pilihan raya serentak akan mengurangkan kos, terutamanya untuk pilihan raya Sarawak.
“Ini sudah tentu adalah satu keputusan yang penting, yang perlu dibuat oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, tetapi saya sudah tentu akan memberikan pandangan parti kepada beliau dan kita cenderung supaya pilihan raya serentak ini diadakan,” katanya.
DUN Melaka akan dibubarkan secara automatik pada Disember tahun depan. Pilihan raya negeri Sarawak dijadualkan diadakan pada Februari 2027, diikuti oleh Johor tidak lama kemudian pada bulan April.
Sebaliknya, pilihan raya umum ke-16 mesti diadakan menjelang Februari 2028.
Bagi kos pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya menganggarkan kos RM420 juta untuk pilihan raya enam negeri pada 2023.
Pilihan raya Sabah yang akan datang dijangka menelan belanja RM116.8 juta.
Loke berkata Pakatan Harapan (PH) akan mengekalkan prinsip penyandang jawatan akan bertanding semula, sambil menambah bahawa akan ada perbincangan dengan Anwar bagi memastikan kejayaan parti itu yang berterusan.
Dia melahirkan keyakinan terhadap keupayaan parti itu untuk menawan kerusi dalam pilihan raya akan datang, dengan mengatakan tiada apa yang perlu dirisaukan jika semangat ahli kekal tinggi.
Menyebut secara khusus mengenai Johor, Loke berkata negeri itu sekurang-kurangnya mesti mengekalkan bilangan kerusi semasa: lima kerusi parlimen dan 10 kerusi DUN.
“Johor ini merupakan satu negeri yang sangat unik kerana peringkat persekutuan kita bekerjasama dengan BN tetapi peringkat negeri walaupun sekarang ini kita dipanggil sebagai pengimbang, tetapi maksudnya kita bukan sebagian daripada kerajaan di negeri Johor.
“Jadi kerjasama ataupun ‘order’ ini akan berlarutan sampai pilihan raya,” katanya.
Selain itu, dia turut menyentuh mengenai peranan DAP Johor dalam pilihan raya Sabah akan datang.
“Saya harap (Pengerusi DAP Johor) Teo Nie Ching akan menggerakkan lebih ramai ahli DAP Johor untuk pergi membantu DAP Sabah menghadapi pilihan raya negeri hujung bulan ini,” katanya.
Sabah akan mengadakan PRN pada 29 Nov, dengan pengundian awal ditetapkan pada 25 Nov.






